Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata dalam satu kenyataannya, inisiatif Biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) kerajaan dijangkakan dapat memberi manfaat ketara kepada alam sekitar, terutama hasil daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran, bagi menjayakan kesan automotif mesra alam, menurut laporan Bernama.

Menurut kenyataan tersebut lagi, penggunaan B10 juga akan menghasilkan manfaat positif kepada industri, ekonomi, komersil dan sosial di negara ini secara keseluruhannya.

MPOB turut mengatakan, Indonesia telah melaksanakan Program B20 sejak Januari tahun ini dan setakat ini, belum ada masalah teknikal dilaporkan. Lembaga berkenaan menjelaskan, pengusaha pengangkutan Malaysia akan terus mempunyai pilihan sama ada menggunakan diesel B7 perindustrian atau diesel euro 5.

“MPOB akan terus meningkatkan penglibatan pengusaha pengangkutan dan semua pihak berkepentingan dalam industri automotif bagi menangani segala kebimbangan mengenainya,” katanya.

Mengulas berkenaan penangguhan pelaksanaan program B10 dan B7 kepada 2017 dibuat oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong pada 15 Nov lepas, MPOB berkata, “Keputusan menangguhkan mandat itu dibuat atas dasar tidak mahu membebankan pengguna dengan sebarang kenaikan harga diesel ekoran harga minyak sawit mentah yang tinggi pada masa ini.”

Implementasi program biodiesel B10 ini telah ditangguhkan berberapa kali. Kerajaan pada mulanya memperkenalkan bahan api berkenaan pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan kerana data yang tidak mencukupi menyatakan ia memenuhi spesifikasi pengeluar-pengeluar kenderaan.

Implementasi berkenaan kemudiannya dijadualkan pula untuk dilaksanakan bulan hadapan, namun ia diumumkan ditangguhkan sekali lagi ke tarikh yang masih belum ditetapkan kerana kerajaan mahu memperkasakan program tersebut untuk mempertingkatkannya dengan dua jenis campuran serta untuk tidak membebankan orang ramai.