PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

Trend pasaran kenderaan buat masa sekarang menunjukkan pengguna lebih berminat kepada SUV berbanding sedan. Situasi ini menyebabkan pasaran sedan makin mengecil dan pengeluar kini berlumba-lumba menghasilkan SUV. Perkara ini sedikit sebanyak merubah lanskap pasaran automotif secara keseluruhan, antaranya menyebabkan ada siri sedan yang terpaksa dihentikan pengeluarannya, contohnya Mitsubishi Lancer, untuk memberikan laluan kepada penghasilan SUV yang kini semakin tinggi permintaannya.

Jika 20 tahun lalu SUV sering dikaitkan dengan model-model off-road lasak sebenar seperti Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser, SUV masa kini dibina secara lebih meluas dengan rekaan yang lebih ke arah penggunaan di atas jalan raya biasa, bermula dengan crossover segmen-B seperti Honda HR-V, hingga ke segmen mewah seperti Jaguar F-Pace.

SUV segmen-C merupakan antara paling meriah dalam pasaran Malaysia. Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5 merupakan nama-nama yang gah dari Jepun, manakala Ford Kuga dan Renault Koleos pula antara pencabar dari Eropah. Jenama dari Korea turut tidak melepaskan peluang dalam pasaran yang semakin berkembang ini diwakili oleh Hyundai Tucson dan juga model yang diuji kali ini – Kia Sportage 2016 dari varian GT-Line.

PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

Mengikut susur galur pembinaan, Kia Sportage generasi keempat dan Hyundai Tucson generasi ketiga dibina di atas platform yang sama. Oleh itu, jarak roda kedua-dua ‘sepupu’ ini adalah sama iaitu 2,670 mm. Namun, rekaan pada Sportage yang nampak lebih sporty ini memberikan dimensi 5 mm lebih panjang (4,480 mm), 5 mm lebih lebar (1,855 mm) serta 20 mm lebih rendah (1,635 mm) berbanding Tucson.

Berbanding Kia Sportage generasi ketiga pula, model generasi terkini ini mempunyai dimensi tinggi dan lebar serta keseluruhan yang sama. Namun, panjang keseluruhan model generasi baharu ini diukur 40 mm lebih panjang dari model terdahulu.

Seperti juga model-model terbaharu Kia yang lain, Sportage baharu ini direka oleh Kia Eropah. Berbeza dengan pesaing-pesaing sekelasnya yang direka seperti SUV konvensional, muka hadapan Sportage direka tajam seperti sebuah kereta sport.

PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

Ia menampilkan sepasang lampu hadapan yang direka tirus (dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk bulat bina dalam), manakala gril utama dengan rekaan signatur “hidung harimau” Kia terletak pada bampar hadapan. Ia diapit perumah lampu lampu kabus pada kedua-dua sisi, dan turut menempatkan lampu kabus dengan empat LED berbentuk empat segi yang digelar ‘kiub ais’.

Secara keseluruhan, rekaan berkenaan menjadikan muka Sportage ini seakan-akan Porsche Cayenne tetapi dengan saiz lebih kecil. Dan untuk membezakan antara varian, varian KX yang lebih rendah tidak diberikan teknologi HID, tanpa sistem pengaktifan automatik dan auto leveling pada lampu utama serta hanya diberikan lampu kabus konvensional berbentuk bulat.

Model GT-Line juga diberikan rim 19-inci kemasan digilap dan hitam kilat (17-inci kemasan perak pada KX). Pada bahagian belakang, lampu kombinasi pada model generasi baharu ini direka lebih tirus bagi mengimbangi rekaan muka hadapan, dan khas untuk varian GT-Line, jalur LED tiga baris turut disertakan di dalam lampu berkenaan.

Pemegang nombor pendaftaran belakang kini dialihkan pada pintu tailgate, manakala jalur lampu kabus dan lampu undur kekal diletakkan di kedua-dua sisi bampar, serta kemasan seperti diffuser turut diberikan yang juga menempatkan dua tip ekzos berkembar berbentuk bujur.

Masuk ke kabin, pemandu akan disapa dengan ‘upacara pembukaan’ pada skrin paparan informasi LCD berwarna 4.2-inci yang terletak antara dua meter utama (hanya untuk GT-Line). Berbanding Tucson, rekaan papan pemuka pada Sportage direka lebih bersegi, menampilkan pemain audio utama dengan skrin infotainmen (juga hanya untuk GT-Line) diapit oleh liang penghawa dingin tengah, manakala suis kawalan penghawa dingin diletakkan di bahagian bawah.

Kesemua varian Sportage menerima lapan pembesar suara, kabin dengan warna hitam keseluruhan, dan juga sedikit kemasan berwarna perak. Namun, khas untuk varian GT-Line, ia diberikan roda stereng balutan kulit dengan rekaan rata di bahagian bawah, penghawa dingin automatik dua-zon dengan kemasan hitam piano pada suis kawalan, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri balutan kulit serta pedal-pedal kawalan aluminium.

PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

Selain dari rupanya yang kini dilihat seperti mencabar pesaing-pesaing dari Eropah, kualiti buatan pada SUV buatan Korea generasi baharu ini turut dipertingkatkan. Lebih banyak material sentuhan lembut diberikan pada bahagian dalam Sportage ini seperti pada papan pemuka dan juga panel-panel dalaman lain. Setiap komponen dan perincian kecil seperti suis-suis juga kelihatan lebih solid, memberikan perasaan pada kabin yang benar-benar premium.

Selain dari platform, Sportage turut berkongsi enjin dan transmisi yang sama dengan Tucson. SUV segmen-C ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik “Nu” berkuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm. Tiada pilihan pacuan empat roda ditawarkan di mana kedua-dua varian Sportage menghantar kuasa dari enjin ke roda hadapan menerusi kotak gear enam kelajuan automatik.

Ini membuatkan karekter penghantaran kuasa pada Sportage adalah lebih kurang sama seperti Tucson. Tiga mod pemanduan diberikan bagi menyesuaikan situasi pemanduan iaitu ECO, Normal dan Power. Walaupun kuasa dirasakan agak sedikti kurang ketika mahu memecut, kotak gear Sportage ini memberikan respon yang agak baik, cepat dan juga rasa terus dengan pedal pendikit. Varian GT-Line turut diberikan pedal penukar gear manual pada stereng, yang memberikan lebih keseronokan memandu pada jalan berbukit dan berliku.

PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

Kualiti pengendalian dan keselesaan Sportage juga berada pada tahap yang hampir sama dengan Tucson – memberikan kadar NVH yang sangat baik dan juga keselesaan antara yang terbaik dalam kelasnya. Namun mungkin dengan pemadanan rim bersaiz 19-inci dengan tayar bersaiz 245/45/R19, Sportage lebih rasa ‘melekat’ diatas jalan raya, dan memberikan karekter stereng yang lebih tajam dan mudah diagak ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Tipikal penggunaan rim bersaiz besar dengan tayar berprofil rendah sebegini, nikmat pengendalian lebih baik tersebut perlu mengorbankan sedikit keselesaan, di mana gegaran dari jalan diserap ke badan dengan sedikit kasar ketika ia melanggar lubang berbanding Tucson Executive yang menggunakan rim 17-inci dengan tayar bersaiz 225/60R17. Walau bagaimanapun, Sportage masih sebuah SUV dan masih tidak boleh memberikan olengan badan sebaik sedan atau hatchback biasa.

Kedua-dua varian Sportage dilengkapi dengan pakej bantuan pemanduan aktif penuh yang terdiri dari Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM) yang menghubungkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (MDPS) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).

Selain itu varian KX dan GT-Line turut diberikan Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS) serta Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS). Untuk keselamatan pasif pula, kedua-dua varian Sportage ini turut diberikan enam beg udara, dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Kia Sportage hadir dengan empat warna badan iaitu Fiery Red (seperti model yang diuji ini), Mercury Blue, Snow White, dan juga Mineral Silver. Untuk varian tertinggi GT-Line ini, ia dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM141,888.00, berbanding varian KX yang berharga RM 121,888.00. Setiap pembelian Sportage ini turut diberikan perlindungan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun.

Sebelum ini, kehadiran Hyundai Tucson dalam pasaran telah pun memberikan satu lagi alternatif kepada dominasi jenama-jenama Jepun dalam saingan SUV segmen-C tempatan. Adakah rekaan yang menarik serta kualiti premium dari Sportage generasi baharu ini akan mengubah skeptikal rakyat Malaysia seperti nilai jualan semula yang ‘sejuk’ serta tahap reliabiliti yang rendah terhadap jenama-jenama dari Korea sebelum ini? Hanya masa yang akan menentukan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • ALBERT P on Jul 25, 2017 at 10:53 pm

    Hi, I bought a All-New Kia Sportage 2.0GT, and today inspect the car. I was surprise, the infotainment and audio player system is not JBL. Even the panels slightly different than GT Line. I bought from Kia Motor Distributors Seri Manjung. I already file a complain to Naza Kia. Anyone had experience this thing before? I felt like I got conned.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
    • Hai Albert what would be the status of ur complaint… Mind to share w us… Tq

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required