Honda_HRV_Red_Ext-2

Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan warna baharu dalam senarai pilihan warna untuk Honda HR-V. Warna yang dikenali sebagai Dark Ruby Red Pearl ini menggantikan warna Crystal Black Pearl dalam senarai pilihan warna sebelum ini. Bagi mereka yang belum berkesempatan mengunjungi bilik pameran Honda untuk melihat sendiri HR-V dengan warna baharu tersebut, anda boleh terlebih dahulu ‘mencuci mata’ di galeri yang kami sediakan ini.

Seperti yang dapat dilihat, warna baharu ini turut hadir bersama roda aloi dua ton dengan kemasan akhir aloi-hitam berkilat berdiameter 17-inci. Roda aloi berkenaan adalah seiras dengan roda aloi HR-V untuk pasaran Thailand dan Indonesia. Roda aloi tersebut menggantikan roda aloi kemasan silver berdiameter 16-inci sebelum ini dan dipadankan ke kesemua varian HR-V iaitu 1.8 S, 1.8 E dan 1.8 V.

Model pada galeri kami ini merupakan dari varian tertinggi 1.8 V, yang boleh dikenali dengan pemadanan lampu hadapan LED projektor. Selain dari warna dan roda, tiada lagi perubahan lain dilakukan bahagian luaran HR-V.

Honda_HRV_Red_Ext-15

Begitu juga dengan bahagian dalaman, ia kekal sama kecuali tambahan aksesori opsyenal terbaharu iaitu rak untuk bahagian kargo belakang yang ditawarkan pada harga RM550 termasuk GST. Harga jualan HR-V juga kini naik RM672.44 untuk semua varian.

Oleh itu, HR-V varian asas 1.8L S kini dijual pada harga RM99,129.67 (sebelum ini RM98,457.23), varian pertengahan 1.8L E berharga RM108,481.63 (sebelum ini RM107,809.19). Manakala untuk varian tertinggi 1.8L E, ia kini berharga RM118,606.03 (sebelum ini RM117,933.59).

Kesemua harga yang disebut adalah harga atas jalan dan tanpa insurans dan termasuk dengan perlindungan waranti lima tahun (perbatuan tanpa had) serta servis penyelenggaran enam kali berselang seli secara percuma dengan penyelenggaran berbayar sehingga 100,000 km.

Selain dari warna Dark Ruby Red Pearl, HR-V masih lagi ditawarkan dengan warna Ruse Black Metallic, Taffeta White dan Modern Steel Metallic. Warna Alabaster Silver Metallic turut digugurkan dari senarai pilihan warna dan dikhabarkan akan digantikan dengan warna lain pada masa akan datang.