Honda BR-V, atau Bold Run-about Vehicle merupakan sebuah kenderaan crossover tujuh tempat duduk yang mempertemukan rekaan sebuah SUV dengan keluasan serta praktikaliti sebuah MPV. Dipasang di Pegoh, Melaka. Menurut Honda Malaysia, 70-80% komponen yang digunakan merupakan keluaran tempatan.

Hanya dua barian ditawarkan setakat pelancarannya awal Januari lalu, iaitu varian E dan yang paling tinggi, V. Lebih menarik, ialah tanda harga yang ditawarkan; bermula dari RM85,500 dan varian paling tinggi pula pada harga RM92,800.

Dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN menggunakan platform Honda Brio/Mobilio yang dilanjutkan, BR-V dilengkapi enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, dengan janaan 120 PS dan 145 Nm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams untuk lebih cekap.

Bagi sistem suspensi, ia menggandingkan jenis MacPherson bagi bahagian depan dan Torsion Beam bagi bahagian belakang. Menurut Honda Malaysia, suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun penyerap hentak (damper) bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di sini.

BR-V dibangun dengan dimensi 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Honda BR-V 1.5L V