Dengan matlamat untuk menjadi sebuah jentera dua roda street tracker yang sah digunakan di atas jalan raya, Redshift ST Concept yang dibangunkan oleh Alta Motors dijangka akan menjadi kenyataan tidak berapa lama lagi, seperti dilaporkan oleh autoblog.

Bakal dipertontonkan secara rasmi pada pameran The One Motorshow edisi kelapan yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Februari ini di Portland, Oregon, ia merupakan sebuah motosikal elektrik sepenuhnya dan akan ditawarkan di dalam dua model sahaja kelak; Redshift MX (motocross) dan SM (supermoto).

Kerangka aluminium yang digunakan itu tidak mustahil akan dilanjutkan bagi menawarkan model lain di masa hadapan, terutama dalam kategori motosikal yang masih belum “disentuh” oleh kebanyakan pengeluar lain. Bagi model konsep ini, Alta Motor menggunakan pengetahuan mereka di dalam perlumbaan trek rata yang kerap diceburi sebelum ini.

Hasilnya ialah sebuah jentera dalam genre yang segar dan jujur, tidak sekadar menuruti pasaran semata-mata, misalnya jika dibandingkan dengan penawaran scrambler dan cafe racer yang sedang mendominasi scene motosikal binaan khas (custom).

Membangunkan model konsep ini, Alta Motors menghasilkan sebuah sub-kerangka dan tempat duduk baru yang sinonim dengan sebuah jentera lumba dalam genre litar rata (biasanya dengan kawalan menggelungsur dari sisi), dengan meringankan rekaan keseluruhannya serta menjadikan penampilan yang lebih moden.

Ia menggunakan roda 19 inci gentian karbon BSR dengan tayar yang juga direka khusus, ia antara lain dilengkapi dengan suspensi WP yang diturunkan untuk menjadikan kedudukan tempat duduk lebih rendah; kepada 31.5 inci.

Walaupun masih di dalam fasa sebagai sebuah jentera konsep, kemungkinan untuk mengeluarkannya sebagai sebuah model produksi sangat tinggi. Sekitaranya itu menjadi kenyataan nanti, kemungkinan ia akan memasuki pasaran adalah pada 2018, dengan sedikit penambah baikan untuk menjadikannya sah di atas jalan. Harganya? Mungkin sekitar $15,495 (RM68,627).