PSA Group kini sedang berbincang dengan General Motors untuk mengambil alih jenama Opel-Vauxhall

PSA Group kini sedang berbincang dengan General Motors untuk mengambil alih jenama Opel-Vauxhall

Pemilik jenama Peugeot dan Citroen, PSA Group kini sedang dalam peringkat perbincangan dengan General Motors (GM) untuk mengambil alih jenama Eropah di bawah naungan kumpulan automotif Amerika Syarikat berkenaan, iaitu Opel-Vauxhall. Jika pengambilalihan ini berjaya kelak, PSA Group bakal menjadi kumpulan automotif kedua terbesar di dunia, di bawah Volkswagen Group, mengatasi Pakatan Renault-Nissan yang baharu sahaja memiliki Mitsubishi Motors Corporation.

Jurucakap PSA mengesahkan syarikatnya kini sedang “meneroka berberapa inisiatif strategik dengan GM dengan mensasarkan peningkatan keuntungannya serta kecekapan operasi, termasuk mungkin akan mengambil alih Opel.” Walau bagaimanapun PSA menambah masih lagi tiada keputusan sebenar dibuat untuk perjanjian ini.

Menurut Reuters, GM boleh menyimpan kepentingan dalam entiti yang diperbesarkan. Kedua-dua kumpulan telah cuba untuk membentuk pakatan sebelum ini dan berakhir dengan GM menjual kepentingannya kepada PSA pada tahun 2013. Setakat ini, kedua-dua pihak berkongsi produksi kenderaan komersial ringan dan juga berberapa model SUV.

PSA yang sebelum ini berada di ambang muflis pada 2013 hingga 2014 kini bangkit semula dan merekodkan tahap pendapatan yang tinggi. Di bawah pimpinan Carlos Tavares, kumpulan berkenaan telah menjual 3.15 juta kenderaan tahun lalu. Laporan agensi berita tersebut turut menyebut Tavares telah memberikan respon positif terhadap kerjasama yang boleh meningkatkan skala dan kebolehan PSA bagi mencapai permintaan pelaburan terhadap teknologi elektrik pada kenderaan, teknologi pemanduan dan perkhidmatan perhubungan.

Selain dari perbincangan untuk mendapatkan Opel-Vauxhall ini, PSA turut disenarai pendekkan oleh Proton untuk mengambil alih 51% pegangan di kilang Tanjung Malim milik syarikat automotif nasional Malaysia itu sebagai timbal balik untuk menjadi rakan strategiknya, bersaing dengan Geely dari China.

GM pula sebaliknya gagal untuk membuat keuntungan dari Opel. Walaupun tahun lalu pasaran kenderaan baharu Eropah merekodkan jualan tertinggi sejak 2007, Opel gagal untuk mendapatkan pulangan modal. Sebelum ini, GM cuba untuk menjual Opel kepada pengeluar komponen dari Kanada iaitu Magna semasa dalam krisis kewangan, tetapi membatalkan perjanjian pada 2009 tersebut.

Menurut Reuters lagi, tindakan GM untuk menjual Opel akan menjadi demonstrasi paling dramatik oleh CEO Mary Barra dalam strateginya untuk mengutamakan keuntungan lebih dari bahagian pasaran. Sejak mengambil alih pimpinan di dalam GM pada Januari 2014, Barra telah membuat keputusan untuk memberhentikan operasi di bahagian pasaran yang tidak menguntungkan GM iaitu di Rusia dan Indonesia, berhenti dari menjual Chevrolet di Eropah, dan mengurangkan jualan kepada syarikat kereta sewa yang kurang menguntungkan di Amerika Syarikat yang hanya untuk menaikkan bahagian pasaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required