Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semalam mendedahkan bahawa tarikh akhir bagi penyerahan kertas cadangan atau proposal bagi rakan strategik Proton Holdings Bhd ialah pada 15 Februari, iaitu pada Rabu minggu ini, seperti dilaporkan Bernama.

Tarikh itu ditetapkan bagi mana-mana syarikat asing yang berminat untuk menjadi rakan strategik Proton untuk mereka menyerahkan proposal berkenaan. “Penilaian terhadap proposal-proposal yang diserahkan akan dilakukan selepas tarikh berkenaan, sebelum keputusan dibuat selepas itu,” ujar beliau.

Johari menambah, selain syarikat-syarikat dari China, beberapa syarikat dari Eropah juga ada menunjukkan minat mereka untuk menjadi rakan strategik Proton. Antara nama yang pernah disebut-sebut sebelum ini antaranya ialah Geely dari China, serta PSA dan Renault dari Eropah.

Sementara itu, DRB-Hicom selaku pemilik Proton juga sebelum ini sangat yakin bahawa dengan rakan strategik asing, Proton akan lebih maju dan berdaya saing untuk menghasilkan barisan produk yang lebih baik. Dalam perkembangan yang sama juga, kerajaan tidak ada halangan sekiranya DRB-Hicom ingin melepaskan pegangan majoriti syarikat itu dalam Proton.

Bagaimanapun, DRB-Hicom tetap akan memiliki pegangan yang signifikan dalam Proton selepas proses berkenaan. “Pencarian rakan strategik asing ini tidak bermaksud kami mengabaikan tanggungjawab terhadap negara, sebaliknya adalah bertujuan untuk memantapkan lagi kedudukan Proton sebagai sebuah jenama pengeluar kenderaan, serta meletakkan Malaysia di dalam peta global,” jelas Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan minggu lalu.