Isuzu telah mula menayangkan teaser untuk SUV MU-X 2017. SUV ini dijangka bakal diperkenalkan pada bulan hadapan di Thailand, dan Isuzu telah mendedahkan sedikit perubahan yang dilakukan menerusi klip video pendek.

Bahagian luaran menerima sentuhan yang lebih segar termasuk gril dan lampu utama projektor yang direka semula, dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi 18-inci baharu dan lampu belakang LED. Di dalamnya juga turut diberikan sedikit pembaharuan, termasik kekemasan warna kuning cair seperti yang dipaparkan menerusi video.

Dua varian enjin bakal ditawarkan untuk MU-X ini, iaitu 1.9 liter Ddi Blue Power turbodiesel, seperti mana yang diperkenalkan menerusi SUV ini pada Mac tahun lalu. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm, bersama dua transimisi iaitu manual enam-kelajuan atau automatik Rev Tronic juga enam-kelajuan.

Pilihan enjin lain ialah 3.0 liter yang menawarkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm antara 1,800 hingga 2,800 rpm. Baru-baru ini, Isuzu turut mengumumkan D-Max 2017 untuk Australia juga akan menerima semakan semula bagi versi Euro-5 untuk enjin tersebut.

Unit 4JJ1-TC Hi-Power, memiliki output yang sama dengan 4JJ1-TCX iaitu 177 PS, tetapi tork dipertingkatkan sebanyak 50 Nm menjadi 430 Nm, kini dari 1,700 rpm hingga 3,500 rpm. Ada laporan menyatakan, ia hanya dibangunkan khas untuk pasaran Australia, namun setakat ini tiada pengesahan mengenainya.