Jika sebelum ini umum mengetahui teksi dan Uber merupakan dua pihak yang sentiasa bertelegah, perkembangan baharu ini mungkin agak mengejutkan. Menurut laporan The Sun, syarikat-syarikat teksi bakal menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Uber selewat-lewatnya minggu ini bagi membolehkan kedua-dua pihak menggunakan aplikasi yang sama.

Usaha ini dilakukan bagi “menyelamatkan industri teksi” dan peringkat permulaan bakal menyaksikan 500 pemandu teksi di seluruh semenanjung Malaysia dari sekurang-kurangnya enam syarikat teksi akan menggunakan aplikasi Uber untuk mendapatkan penumpang. Syarikat-syarikat berkenaan dikatakan sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan Uber, memandangkan aplikasi berkenaan melakukan banyak transaksi menggunakan kad debit dan kad kredit.

“Kami akan terus menggunakan operasi teksi bermeter,” kata pengurus operasi teksi. “Tetapi jika pemandu teksi mahu mengambil tempahan menerusi Uber, mereka perlu mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh Uber, sama ada ia lebih rendah atau lebih tinggi dari kadar tambang yang ditentukan SPAD buat masa sekarang.”

Menurut laporan ini lagi, penolakkan tambang kerana menggunakan aplikasi ini hanya akan melibatkan pemandu teksi dan Uber, dan ia ditetapkan pada kadar 25%, sama seperti pemandu Uber biasa yang menggunakan kenderaan persendirian. “Kami perlu bertindak cepat kerana e-hailing bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi selepas undang-undang tersebut dibentangkan di Palimen bulan ini,” kata seorang lagi pengarah urusan syarikat teksi berkenaan.

Apabila ditanya mengapa syarikat-syarikat teksi ini bekerjasama dengan Uber dan bukan aplikasi lain seperti Grab (yang juga syarikat tempatan dan turut mempunyai aplikasi teksi sendiri iaitu MyTeksi), pengarah syarikat teksi utama berkata, “orang ramai lebih biasa dengan jenama Uber. Kami juga telah menggunakan aplikasi tempatan [untuk tempahan] tetapi kami tidak dapat banyak pelanggan kerana kekurangan pemasaran.”

Pertelegahan antara pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kereta seperti Uber dan Grab sudah berlangsung dalam tempoh agak lama, sejak tahun 2015 lagi. Pemandu teksi telah melakukan pelbagai bantahan termasuk demonstrasi jalanan yang menutup Jalan Bintang dan juga menyerang pemandu aplikasi tersebut. Tindakan untuk menyaman juga telah dilakukan sebelum ini.

Kesemua tindakan tersebut walau bagaimanapun gagal untuk menjatuhkan servis aplikasi-aplikasi berkenaan, sebaliknya pada Oktober lalu sekitar 10,000 pemandu teksi memulangkan semula teksi mereka kerana gagal untuk bersaing dengan Uber dan Grab.
Turut dinyatakan banyak syarikat teksi tidak akan dapat bertahan bertahan sehingga 2018, dan mereka turut mengatakan kepada The Sun, “daripada terus berperang dengan Uber, ini masanya untuk bekerjasama dengan ‘musuh.'”

Pengarah syarikat berkenaan juga mengatakan mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan Uber sebagai respon kepada permintaan pasaran, yang The Sun sifatkan ia merupakan tanda yang jelas bahawa industri tersebut kini tewas kepada servis aplikasi perkongsian kenderaan yang kini semakin popular.