Haval H2 mungkin sebuah model yang jarang-jarang dapat dilihat di atas jalan. Sebelum membicarakan dengan lebih panjang tentang pengeluar ini serta pengedarnya di Malaysia, anda jangan terkeliru. Sebelum ini, jenama berkenaan dikenali dengan nama Great Wall Motors (GWM), sama dengan nama asalnya untuk pasaran di China. Haval untuk pasaran di sana merujuk kepada model SUV yang dikeluarkan.

Kemudian, pengedarnya di Malaysia, GO Auto Sales Sdn Bhd melakukan penyelarasan semula terhadap jenama ini, dan beralih kepada nama Haval sebagai pengenalan jenama utamanya, diikuti nama siri atau model yang dimaksudkan.

Di dalam konteks laporan ini, kita akan memberi perhatian terhadap model SUV lima tempat duduk Haval H2. Selain H2, ada sebuah lagi model yang turut dipasarkan kini, SUV kompak Haval M4 yang kemudiannya sejak Januari lalu ditukar pengenalannya kepada Haval H1.

Haval H2 berada dalam penawaran yang lebih tinggi berbanding H1, dengan reka bentuk dan ruang kabinnya lebih dekat dengan kenderaan SUV dari segmen kompak lainnya. Agar lebih jelas, model SUV kompak yang paling hampir dengannya adalah seperti Mitsubishi ASX, atau mungkin Renault Captur serta yang paling popular, Honda HR-V – itu pun sekiranya kita ingin meluaskan skop jenis kenderaan yang berada dalam pakej penawaran yang mirip dengannya.

Unit yang dipandu ini adalah CBU dari China, dan menurut Go Auto, bermula Mei nanti, model ini akan mula dipasang secara CKD di kilang pemasangan mereka di Gurun, Kedah. Dari segi dimensi keseluruhan, Haval H2 dibangunkan dengan panjang 4,335 mm, 1,814 mm lebar dan ketinggiannya 1,695 mm, manakala jarak antara rodanya pula ialah 2,560 mm. Jarak kelegaan tanah pula 133 mm.

Untuk pasaran tempatan, ia ditawarkan dalam tiga varian; Standard MT, Comfort AT dan Premium AT, dengan tanda harga masing-masing ialah RM89,950, RM98,950 dan RM101,950 – harga atas jalan termasuk insurans dan GST. Unit yang dicuba untuk pandu uji ini ialah dari varian Comfort AT. Perbezaan antaranya dengan varian Premium AT hanyalah penggunaan warna tunggal pada ruang kabin, sementara varian Premium dilengkapi dengan kemasan kabin dengan warna dwi-tona.

Dari segi penggayaan dan reka bentuk, H2 mempunyai daya tarikan yang membolehkannya kerap mencuri perhatian pengguna jalan yang lain. Entah disebabkan ia jarang dilihat atau memang rupanya begitu berbeza daripada SUV lain yang lebih kerap kelihatan, ramai juga yang bertanyakan tentang model ini ketika kami memandu – paling kerap ketika berhenti di lampu isyarat.

Berbanding model lain dari pengeluar China, H2 hadir dengan gaya yang ingin memberi satu pernyataan lain – bahawa ia ingin menjadi jauh lebih baik daripada reka bentuk yang pernah ada pada model-model keluaran dari negara itu sebelum ini. Ia sedap dipandang, dan agak terarah dan seimbang pendekatan rekaan yang diberikan terhadapnya.

Antara yang perlu dinyatakan ialah ciri-ciri yang biasanya menghiasi model-model yang lebih ‘tinggi’ dan premium; lampu depan LED, dua corong ekzos, kemasan kulit pada bahgian dalam serta warna bumbung berbeza daripada warna badan.

Semua hal ini menjadikan penampilan H2 sedikit unik, dan membolehkannya terpisah daripada imej yang biasanya ada pada model-model kenderaan dari pengeluar China. Kami sendiri mampu bersetuju bahawa penampilan H2 ini memang terasa kelainannya jika dilihat dalam konteks berkenaan – dari segi penggayaan, banyak ketelitian yang diberikan kepada H2.

Kemasan di dalam juga tidak berlebihan jika dikatakan menampilkan kerja yang agak teliti. Tempat duduk semuanya dibalut dengan material kulit. Bagi set multimedia, ia boleh diakses melalui skrin sentuh. Paparan maklumat pada kluster meter di depan pemandu juga dari jenis digital, diapit oleh petujuk meter kelajuan dan rpm biasa.

Ketika memandu ujinya, kami sempat menggunakannya untuk membawa dua buah basikal lipat dengan tiga penumpang dewasa dari Kuala Lumpun menuju Sekinchan. Ruang di dalamnya tidak ada masalah untuk membawa semua barangan yang ada. Cuma, dalam perjalanan yang sama, kami sedari aspek pemanduannya masih banyak yang perlu dilakukan jika ia ingin bersaing dengan lebih rapat dengan yang lain.

SUV ini dilengkapi dengan enjin VVT 1.5 liter turbo yang menghasilkan 147 hp pada 5,600 rpm dan 210 Nm dari 2,200-4,500 rpm. Maklum balas yang diberikan pula tidaklah begitu mantap. Maksudnya, bagi sebuah SUV, adalah diharapkan kenderaan ini mampu memberikan respon yang lebih tangkas, dengan aspek pemanduan yang lebih yakin, tegap dan tepat – terutama ketika mengendalikan sterengnya.

Dalam hal ini, Haval H2 berada sedikit di belakang pesaingnya yang lain. Bunyi serta “rasa” ketika turbonya mula “masuk” juga agak mengganggu pemanduan – dalam kebanyakan waktu, agak sukar untuk mendapatkan maklum balas yang tepat dari sudut pemanduan kenderaan ini.

Sepanjang tempoh bersama kenderaan ini, bacaan penggunaan petrol yang dapat dicapai ialah 8.7 liter bagi setiap 100 km. Ini merupakan bacaan yang sederhana, mengambil kira ia sebagai sebuah SUV dan digunakan untuk membawa penumpang dan barangan pada kebanyakan waktunya.

Satu lagi perkara yang agak merimaskan ialah, setiap kali anda masuk gear undur, akan ada suara nyaring dari sistemnya meminta anda memilih mod meletak kenderaan, sama ada secara mengundur atau sisi. Yang menjadi masalahnya ialah, bukan setiap kali kita masuk gear undur itu bermakna kita ingin memasuki petak letak kenderaan.

Paparan skrin kamera undur bagaimana pun boleh dipuji. Ia jelas dan terang, termasuk pada waktu malam dengan panduan masuk ke kotak parkir dengan tepat. Ada kenderaan lain yang lebih teruk kualiti kamera undurnya yang pernah kami temui.

Sebelum terlupa, bagi perincian rekaan, di bawah cermin sisi H2 ini terdapat satu lampu “alu-aluan” yang akan menyala setiap kali anda menekan remote pada kunci atau membuka pintu. Ia akan lebih ketara pada waktu malam. Ciri ini biasanya ada pada kenderaan yang lebih premium, misalnya seperti Range Rover Evoque.

Bagi aspek keselamatan pula, H2 dilengkapi dengan dua beg udara SRS, beg udara sisi, beg udara tirai, Electronic Stability Program (ESP) serta sistem tinjaun tekanan tayar. Jadi, adakah Haval H2 wajar dipertimbangkan untuk dimiliki?

Ia bergantung kepada keutamaan anda. Sekiranya anda tidak terlalu menghiraukan kualiti pemanduan sesebuah kenderaan, mungkin anda akan dapat menghargai model ini, tambahan pula tanda harga yang dikenakan agak rendah berbanding pesaingnya yang lain.

Tetapi, jika sekadar imej sebuah SUV sahaja tidak mampu memuaskan dan memenuhi keperluan penggunaan, rasanya model ini bukan untuk anda. Ia memberikan nilai yang sepadan dengan penawarannya, tetapi dari segi prestasi dan kejituan pemanduan, Haval H2 masih ketinggalan.