Haval-H2-launch-01

Pernah dipertontonkan di Malaysia pada November lalu di di NST-MAI ASEAN Auto Show 2015, SUV segmen-C ini akhirnya dilancarkan untuk pasaran tempatan. Ia diedarkan oleh Go Auto, Haval H2 ini disasarkan jualannya sebanyak 1,000 unit untuk tahun ini dan telah diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Haval H2 didatangkan dengan tiga varian iaitu model asas Standard dnegan harga bermula RM87,246.01, sementara varian Comfort pula pada harga RM95,997.97. Manakala varian tertinggi Premium pula pada harga RM98,915.29. Semuanya adalah harga atas jalan termasuk GST dan tanpa insurans.

Ketiga-tiga varian juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km. Sebagai tambahan, dalam hanya tempoh waktu terhad sahaja, Go Auto turut menawarkan tiga tahun/60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi pakej penyelenggaran percuma, termasuk servis dan kos buruh. Go Auto turut memberitahu, 100 unit pertama Haval H2 adalah unit CBU, dan mensasarkan model CKD menjelang September 2016 ini.

Kesemua varian Haval H2 ini memiliki saiz ukuran yang sama iaitu 4,335 mm panjang, 1,814 mm lebar, 1,695 mm tinggi, dengan jarak roda 2,560 mm. Semua model turut dilengkapi dengan roda stereng berkuasa, brek parkir elektrik dan kolum stereng boleh laras dengan empat-cara.

Haval H2 ini bakal dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4G15B pengecas turbo empat-silinder dual-VVT. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 147 hp pada 5,600 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 2,200 hingga 4,500 rpm. Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa pada roda hadapan.

Selain itu, Haval H2 ini turut memilih sistem suspensi dengan topang MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Ia turut dilengkapi dengan cakera brek pada keempat-empat rodanya dan juga stereng berkuasa elektrik.

Untuk bahagian luarannya, Haval H2 ini turut dilengkapi dengan lampu utama halogen dengan fungsi “follow-me-home”, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ia dipadankan dengan kekemasan kulit uphosteri untuk balutan tempat duduk dan roda stereng. Malah untuk tempat duduk pemandu, ia juga memiliki pelarasan secara elektronik dengan lapan-cara pelarasan bagi sokongan belakang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan sistem penghidup enjin, paparan TFT berwarna bersaiz 3.5-inci, butang kawalan pada roda stereng, cermin pandang belakang anti-silau, sistem penghawa dingin automatik dua-zon bersama penapis habuk dan sistem kamera undur.

Haval-H2-2

Bagi sistem hiburan pula, ia turut dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh multimedia dengan sambungan MP3, USB, Bluetooth dan AUX serta enam pembesar suara. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan indikator penukar gear, sistem kemasukan tanpa kunci, sistem penghidup enjin, sistem bebas tangan Bluetooth, panel instrumen kedua dan indikator suhu luar.

Aspek keselamatan turut dititikberatkan, Haval H2 turut memiliki enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem pemantauan tekanan tayar di samping ABS, EBD dan bantuan brek.

Bagi membezakan setiap variannya, Standard didatangkan dengan tiga warna berbeza tona-tunggal dan Haval Red/Classic Black dua-tona warna. Manakala varian Comfort pula memiliki semua warna dengan tambahan dua warna dua-tona termasuk Classic Black/Titanium White dan Brownish Brown/Titanium White. Manakala varian Premium hanya dua-tona warna seperti yang disebut, tetapi menerima padanan dua-tona untuk warna dalaman sebagai standard.