SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

Setakat ini, kami telah menerima berberapa set gambar Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji, dari imej di jalan raya hingga ke litar Nurburgring. Namun, set gambar baharu yang kami terima dari jurufoto pengintip kami ini adalah antara yang paling menarik – gambar jarak dekat ketika unit prototaip berkenaan berhenti di stesen minyak ketika ujian musim sejuk.

Menerusi gambar close-up ini, berberapa perinciannya dapat dilihat lebih jelas. Bahagian hadapan Supra ini boleh dikatakan mengambil sepenuhnya rekaan dari model konsep Toyota FT-1 yang didedahkan di Detroit pada 2014, meliputi bahagian lampu utama, hidung seakan muncung jentera F1 serta tiga liang kemasukan udara yang besar pada bampar.

Penderia radar kelihatan diletakkan pada liang kemasukan udara sebelah kanan yang digunakan untuk sistem active cruise control. Manakala imej jarak dekat pada bahagian sisi pula mendedahkan garisan sisi pada fender hadapan kereta ini sebenarnya sebahagian dari penutup bonet clamshell seperti pada BMW Z3.

SPYSHOT: Imej Toyota Supra paling jelas setakat ini

Disebalik rim aloi 17-inci Supra ini juga dapat disaksikan ia diberikan cakera brek besar bersama angkup empat omboh pada bahagian hadapan. Cermin hadapan juga dapat dilihat direka seakan bersambung dengan cermin tingkap serta ruang roda belakang direka dengan agak berotot.

Pada bahagian belakang, model baharu ini sekali lagi dilihat mengambil rekaan terus dari FT-1 – yang juga direka diinspirasikan dari bahagian belakang Supra Mk4. Bampar unit ujian ini juga dilihat tampil seperti FT-1 dengan tip ekzos pada setiap sisi.

Masih lagi tiada imej bahagian dalaman pada set imej kali ini, tetapi pada gambar yang kami terima sebelum ini Supra dilihat mengambil terus rekaan dalaman dari BMW Z5, dengan roda stereng tiga jejari, skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka, paparan instrumen separa-maya dan juga suis-suis kawalan penghawa dingin. Namun, ini hanyalah model ujian dan diharapkan ia akan berubah dengan rekaan lebih tersendiri pada model produksi sebenar nanti.

BMW Z5 dan Toyota Supra dibina oleh kedua-dua pengeluar berkenaan di atas platform kereta sport terbaharu yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

Supra dan Z5 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda.

Baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan model prototaip Supra yang hampir ke bentuk produksi akan didedahkan pada Tokyo Motor Show Oktober ini, manakala model produksi sebenar dijangka akan muncul setahun selepas itu. Tiada lagi pengumuman rasmi dari BMW, tetapi berdasarkan kenyataan mereka sebelum ini yang menjelaskan Z5 dan Supra dibina dalam ruang masa yang sama, serta dijumpai diuji bersama seperti sebelum ini, kedua-duanya berkemungkinan besar bakal diperkenalkan pada waktu yang hampir sama.

GALERI: Toyota FT-1 Concept

GALERI: Evolusi Toyota Supra

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required