Skoda juga ingin menunjukkan langkah mereka ke arah penawaran kenderaan elektrik, dengan pengenalan Vision E Concept, yang akan membuat penampilan semasa Shanghai Motor Show 2017 penghujung April ini. Lakaran ini dikeluarkan oleh Skoda untuk menunjukkan sebuah SUV lima pintu dengan bentuk seperti sebuah coupe.

Jika dikira dari tayar, ke bahagian hujung badan (overhang), ia adalah pendek, dan dikatakan dapat memberikan ruang yang lebih pada bahagian dalaman kenderaan ini. Ketiadaan gril hadapan juga menjelaskan lagi bahawa ia adalah sebuah kenderaan elektrik. Dari aspek dimensi, SUV ini berukuran 4,645 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,850 mm.

Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada sepasang motor elektrik – satu bagi setiap gandar, yang memberikan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 225 kW (302 hp). Skoda mendakwa ia boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 180 km/j manakala jarak pergerakan pula boleh pergi sehingga 500 km, hasil daripada penggunaan bateri jenis lithium ion dan sistem penjanaan semula kuasa.

Penawaran model elektrik dalam barisan kenderaan Skoda akan bermula seawal tahun 2019, dengan pelancaran model plug-in hybrid Superb. Ini akan diikuti dengan kereta elektrik bateri pertama pada tahun 2020, dan menjelang 2025, Skoda mensasarkan untuk mempunyai lima kereta elektrik dalam beberapa segmen.

Bukan itu sahaja, Vision E juga dikata akan mencapai penarafan pemanduan automatik tahap 3. Ini bermakna, ia boleh bergerak sendiri dalam kesesakan trafik, menggunakan autopilot di lebuh raya, kekal di dalam lorong dan mengelak jika perlu, memotong, mencari ruang letak kereta dan keluar dari tempat letak kereta. Semuanya secara automatik.