Groupe PSA telah mengumumkan satu kerjasama strategik dengan nuTonomy, iaitu syarikat yang digelar sebagai pemaju terkemuka bagi perisian untuk kenderaan bergerak sendiri. Dengan ini, nuTonomy akan melengkapkan sistem perisian mereka ke dalam SUV Peugeot 3008 untuk ujian kenderaan autonomous sepenuhnya atas jalan di Singapura.

Dalam fasa awal kerjasama ini, nuTonomy akan memasang perisian mereka, bersama pengesan khas dan platform komputer ke dalam beberapa buah 3008 yang telah diubah suai oleh PSA. nuTonomy menjangka proses pemasangan ini akan siap pada musim panas ini, dan ujian atas jalan akan bermula di Singapura pada bulan September.

Dalam fasa seterusnya, syarikat ini akan mengambil kira untuk mengembangkan lagi inisiatif ujian kenderaan autonomous ini ke bandar utama lain di dunia.

Penyepaduan yang lancar antara perisian kenderaan autonomous dan kenderaan itu sendiri dilihat oleh kedua-dua syarikat sebagai langkah kritikal ke arah menawarkan kenderaan tanpa pemandu dalam skala besar, untuk kitaran yang berpanjangan. Kerjasama ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai prestasi sistem, serta pengalaman pengguna kenderaan autonomous di dalam kawasan urban.

GALERI: Peugeot 3008