Rekaan berkotak jentera rali Proton Iriz R5 – adakah ia sesuatu yang pelik dan ‘syok sendiri’ ?

Rekaan berkotak jentera rali Proton Iriz R5 – adakah ia sesuatu yang pelik dan ‘syok sendiri’ ?

Berita berkenaan pembinaan jentera rali Proton Iriz R5 telah dihidu oleh kami pada tahun lalu, apabila pembinanya iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM) menerusi media rasminya, Chicane Media menyiarkan imej teaser jentera berkenaan di laman Facebook mereka. Kemudian, kami telah mengesan pula imej penuh kereta rali berkenaan di laman instagram Furancho Racing, tujuh bulan sebelum didedahkan secara rasmi oleh MEM.

Sebelum mengetahui apa yang telah ‘disumbat’ di dalam badan Iriz berkenaan, antara komen-komen permulaan oleh netizen tentulah pada penampilan luaran. Seperti juga produk-produk dengan lencana Proton lain, ia tidak boleh lari dari kecaman negatif dari netizen.

Proton Iriz R5 bukanlah dibina oleh Proton sendiri atau divisi perlumbaannya iaitu Proton R3, sebaliknya ia adalah projek dari MEM. Program yang dijalankan oleh MEM ini adalah saling tak tumpah seperti yang dilakukan oleh M Sport yang membina Ford Fiesta R5 – M Sport tidak ada kaitan terus dengan Ford, dan jentera R5 mereka bukan sahaja untuk kegunaan pasukan sendiri, malah ia turut dijual dan disewakan kepada pasukan-pasukan rali persendirian untuk bertanding pada mana-mana rali kelas R5 yang dipantau oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Untuk pengetahuan anda juga, ini bukan kali pertama MEM bekerjasama dengan Proton. Sebelum ini, MEM juga bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011.

Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

Adakah dengan kehadiran MEM menunjukkan Proton tidak tahu untuk membina kereta rali mereka sendiri? Era 80’an dan 90’an dahulu, Proton PERT yang rata-rata dianggotai oleh bakat-bakat tempatan – dari juruteknik hingga pelumba utama – yang menerima sokongan teknikal dari Mitsubishi Ralliart dan diterajui oleh Datuk Razak Dawood telah membuktikan mereka mampu melahirkan pelbagai ‘monster’ yang digeruni, antaranya Proton Iswara 4WD Turbo Group S berkuasa 300 bhp serta jentera-jentera lain yang mendominasi Rali Malaysia serta APRC.


Ford Fiesta WRC 2017

Namun, untuk lebih strategik, adalah lebih mudah untuk PERT mendapatkan kereta yang dibina oleh pembina kereta rali Eropah semasa berlangsungnya perlumbaan-perlumbaan yang disertai oleh Karamjit Singh di benua berkenaan. Ketika itulah khidmat MEM diperlukan, kemudian ia diteruskan sehingga ke Satria Neo S2000.

Kerjasama seperti ini tidak pelik dalam kejohanan rali. Sebagai contoh, Pasukan Rali Dunia Subaru (SWRT) tidak dikendalikan oleh orang Jepun, sebaliknya ia menggunakan khidmat Prodrive yang berpengkalan di UK, sejak kemunculan sulungnya pada 1989 hingga menarik diri dari WRC pada tahun 2008 – mengambilkira pengetahuan Prodrive dalam rali yang dilihat dapat membantu mereka untuk terjun ke kancah perlumbaan berkenaan.

Berbalik pada persoalan adakah rekaan kit aerodinamik Iriz R5 ini pelik dan jurutera-jurutera di MEM ‘syok sendiri’ serta tidak cukup berseni seperti Kei Miura yang menghasilkan kit badan Rocket Bunny? Jika dibandingkan dengan Fiesta R5 dan Fabia R5, Iriz R5 mungkin dilihat agak keterlaluan.


Toyota Yaris WRC 2017

Tetapi sebenarnya, rekaan berkotak Iriz ini agak mendahului pesaing sekelasnya kerana ia telah mengadaptasi rekaan jentera-jentera yang bertanding pada kelas WRC. Ya, kereta-kereta pada kelas paling tinggi WRC seperti Ford Fiesta WRC, Toyota Yaris WRC dan juga Hyundai i20 kini menerapkan rekaan berkotak yang sama seperti Iriz R5, tetapi dalam bentuk jauh lebih radikal.

Tujuan utama over fender berkotak pada setiap sisi kereta-kereta WRC ini direka bukan bertujuan untuk bergaya atau untuk masuk mana-mana pertandingan autoshow, tetapi direka untuk mendapatkan efek aerodinamik yang benar-benar berkesan, memberikan downforce kepada kereta-kereta ini bagi membolehkan ia mendapatkan cengkaman jalan selain dari hanya bergantung pada suspensi dan tayar – sama seperti sayap-sayap pada kereta F1.

Unik untuk jentera rali, rekaan pada badan kereta-kereta ini bukan sahaja perlu menitikberatkan hal aerodinamik, namun ia masih lagi perlu mengambil kira faktor permukaan jalan – seperti yang diketahui, rali diadakan pada situasi yang benar-benar lasak dengan permukaan jalan batu kerikil, tanah liat, salji, dan juga kadang kala turut perlu menyeberang anak sungai.


Audi Quattro S1 Group B

Rekaan berkotak ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, tetapi ia telah dimulakan pada era rali Group B pada tahun 1980’an dahulu di mana undang-undang baharu yang ditetapkan oleh FIA tahun ini sememangnya untuk mengembalikan sensasi rali seperti pada zaman Group B tersebut. Pelbagai jentera ikonik telah dilahirkan pada era berkenaan seperti Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan Peugeot 205 T16, yang rata-ratanya dijana enjin berkuasa 400 hingga 500 hp.

Namun, kerana jentera-jentera yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required