Pusingan pertama kejohanan rali dunia tahun ini dimulakan dengan berita sedih seorang penonton meninggal dunia setelah dilanggar oleh Hyundai i20 WRC 2017 yang dipandu oleh Hayden Paddon di peringkat permulaan Khamis lalu, lapor motorsport.com.

Hyundai i20 berkenaan terbalik setelah ianya understeer dan hilang kawalan setelah melalui satu selekoh dengan permukaan berais di SS1 dan melanggar penonton malang berkenaan. Ujian yang sedang dilakukan oleh jentera tersebut terpaksa dihentikan serta merta.

Walaupun hanya kerosakan minima yang berlaku terhadap jentera tersebut, Hyundai menggugurkan penyertaan Hayden pada pusingan pembukaan WRC berkenaan. Laluan SS1 tersebut juga dibatalkan pada Jumaat lalu kerana i20 yang terlibat dalam kemalangan itu masih berada di kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun, WRC Monte Carlo 2017 masih diteruskan dan berakhir semalam – dimenangi oleh juara bertahan Sebastien Ogier, berlumba untuk pasukan baharunya, M-Sport, dengan memandu Ford Fiesta WRC 2017. Tempat kedua dimenangi oleh Jari-Matti Latvala yang memandu Toyota Yaris WRC 2017, permulaan yang baik untuk Toyota setelah kembali semula ke kancah WRC selepas menarik diri 18 tahun lalu. Seorang lagi pemandu Ford, Ott Tanak menduduki tangga ketiga, bagi melengkapkan dominasi pasukan berkenaan pada pusingan pembukaan tahun ini.

Jentera-jentera WRC tahun ini dibina berdasarkan undang-undang baharu dari FIA, membolehkan setiap pasukan membina kereta yang lebih pantas dan lebih lebar bagi memberikan sensasi WRC Group B pada era 80’an dahulu. Namun, akibat kereta yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.