Volkswagen sah tarik diri dari kejohanan WRC

vw-2016-wrc-champs_bm

Volkswagen antara pasukan terawal mengumumkan jentera baharu dibina berdasarkan undang-undang baharu dari FIA untuk kejohanan rali dunia (WRC) untuk musim hadapan yang membenarkan jentera lebih agresif dihasilkan menerusi Polo R WRC 2017. Namun, dukacita dimaklumkan pada mesyuarat ahli lembaga pengarah semalam, pasukan berkenaan disahkan akan menarik diri dari kancah saingan WRC untuk musim hadapan.

Berita ini bukan sekadar mengundang dukacita kerana Polo R WRC 2017 tidak dapat beraksi, hakikatnya pasukan WRC Volkswagen kini berada pada tahap kemuncak prestasinya apabila ia disahkan sebagai Juara kategori pengeluar WRC 2016 di Rali Great Britain, yang merupakan pusingan kedua terakhir untuk musim ini hujung bulan lalu, dan ia merupakan gelaran yang disandang secara berturut-turut sejak empat tahun lalu.

Dua minggu sebelum gelaran tersebut disahkan, Sebastian Ogier – pelumba utama pasukan WRC Volkswagen telah mengesahkan gelaran juara kategori pemandu di Rali Sepanyol, juga merupakan gelaran yang dipertahankan selama empat tahun berturut-turut, dengan pasukan yang sama. Sejak tahun 2013, Ogier dan VW telahpun mendominasi WRC dengan menjuarai sebanyak 42 dari 51 rali yang disertai.

vw-wrc-rally-espana-01_bm

Sebab utama penarikan diri VW dari kejohanan WRC ini tentunya adalah kerana skandal penipuan ujian diesel yang sedang diharungi kumpulan automotif berkenaan, yang turut menyaksikan sebuah lagi jenama dibawah naungannya iaitu Audi juga mengumumkan akan menarik diri FIA World Endurance Championship dan perlumbaan Le Mans bulan lalu.

“Dengan pengembangan untuk kenderaan-kenderaan elektrik kami pada masa akan datang kami perlu menumpukan semua usaha kami terhadap teknologi masa hadapan. Kami telah jauh menjangkaui sasaran kami dalam WRC, kini kami sedang mengatur semula Volkswagen Motorsport dan mengalihkan teknologi kenderaan masa hadapan dengan jelas kearah fokus berkenaan,” kata Frank Welsch, ahli lembaga Volkswagen yang bertanggungjawab terhadap pembangunan teknikal.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemandu dan juruarah kami atas pencapaian cemerlang mereka,” kata Welsch, dan menambah 200 kakitangan Volkswagen Motorsport akan dijamin pekerjaan mereka.

Walau bagaimanapun, VW masih tetap membina Polo generasi seterusnya dengan spesifikasi kategori R5 untuk program perlumbaan pelanggan mereka yang akan diperkenalkan pada 2018 nanti.

“Volkswagen akan memberi tumpuan lebih kepada perlumbaan pelanggan. Seperti Golf GTI TCR untuk perlumbaan litar dan Beetle GRC untuk Rallycross, kami juga ingin menawarkan pelanggan produk terbaik dan akan membangunkan Polo baru mengikut undang-undang R5,” kata Welsch.

“Sudah tentu, kami dukacita atas penarikan diri dari WRC kerana ia merupakan bab paling berjaya dalam sejarah sukan permotoran jenama Volkswagen. Pasukan ini telah melakukan perkara yang besar. Pada masa yang sama, visi kami adalah tegas ke hadapan, kerana kami sedar cabaran besar yang dihadapi seluruh syarikat. Kami mahu penyusunan semula ini untuk menyumbang kepada kejayaan jenama Volkswagen, “kata pengarah pasukan Sven Smeets, yang akan menyelia penampilan terakhir pasukan itu di Rali Australia bulan ini.

vw-rally-gb-1_bm

“Mulai sekarang, tumpuan diberikan kepada teknologi yang akan datang dalam sukan permotoran dan pelbagai peringkat sukan bermotor pelanggan kami, di mana kami akan meletakkan diri kami lebih meluas dan menarik,” tambahnya.

Hyundai i20, Ford Fiesta dan Citroen C3 akan kekal bersaing dalam WRC musim hadapan dengan undang-undang baharu yang lebih agresif. Berbeza dengan VW, Toyota akan kembali semula dalam WRC untuk musim hadapan setelah menarik diri dari kejohanan berkenaan 18 tahun lalu dengan jentera baharu Yaris WRC.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required