PoloWRC_

Volkswagen kini sedang membangunkan kereta rali Polo R WRC generasi terbaharu yang lebih berkuasa dan lebih ringan sejak musim panas 2015 berdasarkan undang-undang terbaharu yang di keluarkan oleh pihak FIA untuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk musim 2017.

“Undang-undang WRC untuk musim 2017 menampilkan banyak inovasi teknikal yang menakjubkan untuk Kejuaraan Rali Dunia,” kata Pengarah Volkswagen Motorsport Jost Capito. “Kereta Rali Dunia akan datang akan menggabungkan kesemua pengalaman yang diperolehi oleh pasukan beberapa tahun kebelakangan ini. Ia akan jauh lebih dinamik, pada masa yang sama lebih selamat. Seperti biasa, kami bekerja dengan cermat dan teliti ketika membangunkan Polo R WRC generasi seterusnya. Kunci kepada masa sekarang dan permulaan musim seterusnya adalah untuk mencapai prasyarat untuk membolehkan Polo R WRC berjaya seperti dua jentera sebelumnya,” jelas Capito.

Berdasarkan undang-undang baharu penghad pengecas turbo berdiameter 33 mm dinaikkan kepada 36 mm tetapi kapasiti enjin maksimum kekal pada tahap 1.6 liter dan tekanan boost maksima juga ditetapkan kekal pada 2.5 bar, bagi membolehkan enjin jentera WRC menjana kuasa setaraf dengan jentera yang bertanding dalam Kejuaraan Touring Car Dunia (WTCC). Ini membolehkan enjin 1.6 liter Polo R WRC 2017 mengekstrak kuasa setinggi 380 hp atau 60 hp lebih berkuasa dari jentera sedia ada yang berkuasa 318 hp. Angka tersebut diberikan oleh pihak Volkswagen tanpa memperincikan tahap rpm dan juga bacaan tork maksima jentera terbabit.

FIA juga mengumumkan berat keseluruhan jentera dikurangkan sebanyak 25 kg dan juga lebar keseluruhan ditambah sebanyak 50 mm. Ini bermaksud jentera baharu Volkswagen Polo R WRC ini dibina dengan berat 1,175 kg berbanding dari sebelum seberat 1,200 kg. Aspek aerodinamik dapat direka dengan lebih efisien menerusi rekaan spoiler dan diffuser belakang yang boleh dibina dengan lebih besar.

Selain itu, penggunaan unit karbeda bahagian tengah elektronik untuk mengagihkan kuasa yang lebih tepat pada setiap roda turut akan memberikan pengendalian yang lebih jitu kepada Polo R WRC 2017.

Pembinaan Polo R WRC kini dilaporkan berada pada ‘fasa terpenting’ selepas komponen-komponen utamanya diuji dengan cemerlang diatas kerangka sedia ada. Sejak kemunculan pertamanya di pentas WRC pada 2013, Polo R WRC menyapu bersih kesemua gelaran pada musim-musim berikutnya.