Sekali pandang, mungkin ada yang akan menyifatkan Toyota Sienta ada perwatakan yang comel, dengan pakej penggayaan JDM yang unik. Terbari, satu lagi versi MPV kompak ini muncul di GIIAS, dikenali dengan nama Toyota Sienta Ezzy, yang lebih garang rekaannya.

Paling ketara adalah rekaan baru pada bampar yang diterimanya, kini dalam bentuk hexagonal. Ini termasuk gril “honeycomb” yang menempatkan logo Toyota dan bersambung juga dengan unit lampu utama. Selebihnya kemasan pembahagi warna perak melengkapi wajah dengan sentuhab baru ini.

Bahagian belakang juga menampilkan pembaharuan yang sama, lebih lekuk dan bentuk yang diberikan. Rekaan bampernya baru, dengan bahagian bawah digantikan dengan seksyen untuk menempatkan diffuser. Spoiler belakang, cat dwi-tona dan rim 17-inci rekaan bilah antara perkara yang merubah rupa MPV tiga baris tempat duduk versi yang satu ini.

Di dalam, kemasan dengan warna biru cair yang terdapat di luar turut dilanjutkan ke bahagian ini. Kemasan pada papan pemuka dan stereng yang paling banyak menerima warna berkenaan. Tempat duduk pula dari material kulit coklat.

Toyota Sienta Ezzy ini merupakan usaha pengedar tempatannya di Indonesia, PT Toyota-Astra Motor, dengan turut menampilkan lambang “TAM Design” pada bahagian bawah bampar depan dan belakang. Ia mungkin tidak akan masuk ke bilik pameran untuk dijual, tetapi menjadi satu saluran yang menarik untuk mempamerkan sisi lain MPV Sienta yang boleh digarap dengan penggayaan kustom.