Pagi ini telah berlangsung satu sidang akhbar pembentangan barisan pengurusan dan lembaga pengarah baru kumpulan syarikat Proton, yang melihatkan beberapa individu dari rakan strategik baru, Zhejiang Geely diserap masuk, bersama seorang bekas ketua pegawai eksekutif Skoda iaitu Winfried Vahland.
Namun soalan yang penting adalah, apa produk yang akan menemui pengguna hasil daripada kerjasama ini. Seperti yang telah diketahui, SUV Boyue akan menjadi produk pertama yang akan diperkenalkan, iaitu menjelang akhir tahun 2018, tetapi menurut ketua pegawai eksekutif baru Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Dr Li Chunrong, ia akan disusuli dengan model menarik lain setiap tahun.
Mengulas tentang perkara sama, pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar memberitahu, sebahagian produk sedia ada Proton akan dikekalkan, dan ia akan ditambah dengan model baru Geely. Walaubagaimanapun, beliau tidak menyatakan model segmen apa yang akan diperkenalkan, dengan hanya memberitahu akan meneroka seluruh segmen. Bagi model segmen A, beliau memberitahu Proton sudah mempunyai Saga.
“Selain pelbagai strategi yang akan dilaksana, kami juga mengambil penting aspek kepuasan pelanggan. Produk baru akan diperkenalkan supaya bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Saga dan Persona dilihat cukup baik, tetapi model baru dengan enjin yang lebih berteknologi tinggi, lebih berkuasa dan lebih jimat minyak juga akan diperkenalkan,” tambah Li Chunrong.
Satu perkara menarik yang ditambah oleh ahli lembaga pengarah Proton Holdings Bhd, Daniel Donghui Li, Geely akan membekalkan bukan sahaja model baru, tetapi juga enjin bertaraf Euro 6 dan transmisi baru. Bagi transmisi ini, ia bukan sahaja boleh digunakan untuk enjin biasa, tetapi juga enjin dengan bantuan elektrik seperti hibrid, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik (EV).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.