Pelbagai spekulasi timbul berkenaan rombakan semula pengurusan Proton setelah pengeluar automotif nasional berkenaan menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama dari China, Geely. Laporan terbaharu dari Utusan Malaysia mengatakan, selepas ini Proton bakal melantik bekas pengerusi dan CEO Skoda (kini bernaung di bawah kumpulan Volkswagen), Winfried Vahland.

Vahland yang berasal dari Jerman merupakan individu yang sangat berpengalaman dalam industri automotif dan telah berkhidmat di bawah kumpulan Volkswagen selama 25 tahun. Sebelum dilantik untuk mengetuai Skoda pada tahun 2010, beliau merupakan CEO Volkswagen di China dan juga naib presiden kumpulan berkenaan pada peringkat global.

Beliau kemudiannya dilantik untuk mengetuai operasi VW di Amerika Utara pada tahun 2015, tetapi memilih untuk meletak jawatan dua minggu sebelum pengumuman perlantikan tersebut dibuat kerana tidak bersetuju dengan strategi baharu syarikat berkenaan.

Menurut sumber industri yang memberitahu perkara ini kepada Utusan, DRB-Hicom memilih Vahland sebagai ahli lembaga pengarah untuk “menunjukkan tahap keseriusan pengurusan untuk mendapatkan bakat sebenar automotif ke dalam Proton.” Laporan tersebut turut menambah bekas naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd, Li Chunrong, kini sudahpun berada di Shah Alam untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kanan syarikat dan bakal diumumkan sebagai CEO baharu Proton, menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

“Pengumuman itu akan memperjelaskan struktur pengurusan baharu Proton dan paling genting, jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) juga dijangka daripada kalangan pegawai yang dipilih oleh Zhejiang Geely,” kata sumber industri tersebut dan menambah “Chunrong yang sudah tiba dari China, dijadual memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin ini.”

Transaksi kepentingan Geely sebanyak 49.9% kedalam Proton dijangka bakal dilengkapkan “dalam masa terdekat,” dan kedua-dua pihak kini dalam peringkat melengkapkan pelan perniagaan terperinci yang akan membawa Proton kearah yang betul untuk tempoh masa berberapa tahun akan datang. Pelan berkenaan turut termasuk strategi kedua-dua syarikat bagi menghasilkan kenderaan baharu bersama bagi dipasarkan pada peringkat global.