Empat tahun selepas mula dikeluarkan, Mercedes-Benz C-Class W205 akhirnya diberikan facelift, dan gambar awalnya telah dikeluarkan, sebelum ditampilkan secara rasmi semasa Geneva Motor Show bulan depan. Ia datang dengan rekaan baru luar dan dalam, sistem elektronik tambahan seperti pada S-Class facelift dan juga enjin baru.

Pada bahagian luar, C-Class facelift ini mendapat bampar baru yang kelihatan hampir seperti model AMG, dengan terdapat bukaan udara nipis di bahagian tengahnya. Sementara itu, bagi model AMG Line, gril rekaan berbintik krom diberikan secara standard, bersama bukaan udara tengah yang lebih lebar dan lubang udara tambahan berhampiran tayar. Satu lagi ciri baru adalah pilihan lampu utama Multibeam LED dengan 84 diode dan lampu tinggi Ultra Range, bersama light guide berbentuk C dalam lampu belakang LED model sedan.

Masuk ke dalam, terdapat sistem hiburan dan informasi daripada S-Class facelift, yang melibatkan skrin lebar di tengah dan panel instrumen digital dengan tiga mod paparan. Peliknya, ia tidak dimasukkan sekali dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) baru seperti pada A-Class, dan masih dikawal menggunakan tombol COMAND, dan bukannya pad sesentuh.

Walaubagaimanapun, roda sterengnya kini mempunyai pad sesentuh untuk mengawal kedua-dua skrin, dan pad sesentuh di konsol tengah disediakan sebagai pilihan tambahan. Skema warna bahagian dalam juga adalah baru, iaitu warna kelabu dan hitam, serta coklat untuk model AMG Line. Sistem kawalan keselesaan Energizing baru pula dapat mengawal pendingin hawa, pewangi, pemanas tempat duduk, pengudaraan dan fungsi mengurut.

Turut diambil daripada S-Class facelift adalah pelbagai sistem bantuan pemandu, yang termasuk Distronic adaptive cruise control yang boleh menggunakan informasi peta untuk melaras kelajuan secara proaktif seperti waktu menghampiri selekoh, simpang atau bulatan. Turut ditambah pada C-Class facelift ini adalah Active Lane Change Assist dan Active Emergency Stop Assist.

Mercedes masih lagi belum mendedahkan kenderaan ini akan dikuasakan oleh enjin apa, tetapi ada menyatakan ia akan tampil dengan enjin petrol dan diesel generasi baru. Walaupun begitu, hampir pasti ia juga akan dikuasakan oleh enjin petrol turbo yang sudah pun digunakan pada A 250 dengan kuasa 224 hp/ 350 Nm tork.

Enjin ini juga boleh didapati dengan sistem hibrid ringkas EQ Boost 48-volt, yang digunakan pada E 350 Coupe dan Cabriolet, menghasilkan 299 hp dan 400 Nm tork. Untuk enjin diesel, unit 2.0 liter OM654 yang menggantikan OM651 2.2 liter sudah boleh didapati pada E-Class dengan kuasa 150 hp/ 360 Nm untuk 200 d dan 194 hp/ 400 Nm untuk 220 d.

Turut dijangka memberi kuasa kepada C-Class facelift ini adalah enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter M256, yang boleh dilihat diguna pada S 450 dan CLS 450, juga dengan EQ Boost. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 367 hp dan 500 Nm. Enjin sama juga dijagka digunakan pada AMG C 53, untuk menghasilkan 435 hp dan 520 Nm tork.

Paling tinggi adalah AMG C 63, yang menurut khabar, akan mendapat pengecas turbo baru pada enjin V8 biturbo 4.0 liter, untuk menghasilkan kuasa lebih daripada 476 hp dan 650 Nm tork seperti pada model sekarang. Apa pun enjin yang dipilih, transmisi masih lagi unit 9G-Tronic sembilan kelajuan.