Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan dua model pemasangan tempatan (CKD) bagi varian W205 C-Class iaitu Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line dan Mercedes-Benz C 300 AMG Line. Kedua-duanya akan menyertai barisan model sedia ada iaitu C 200 Avantgarde Line, C 200 Exclusive Line dan C 250 AMG Line.

C 180 Avantgarde Line mengambil alih C 200 sebagai varian asas baharu yang dijual pada harga atas jalan RM228,888 (tanpa insurans), menyaksikan penurunan harga sehingga RM20k. Manakala C 300 AMG Line baharu pula menduduki posisi selepas C 250 AMG Line, dan ditawarkan pada harga RM307,888, dalam lingkungan RM20k lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Bermula dengan varian asas baharu, C 180 menampilkan enjin 1.6 liter empat-silinder pengecas turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm antara 1,200 dan 4,000 rpm, sama seperti A 200, tetapi ia digandingkan dengan 7G-Tronic auto (bukan 7G-DCT). Ia membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

Model baharu ini mempunyai persamaan dengan C 200 Avantgarde, di mana kedua-duanya menggunakan kit luaran yang sama. Ia menampilkan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Prestasi Tinggi, serta dua corong ekzos di belakang. Tetapi C 180 digandingkan dengan set roda yang lebih kecil iaitu roda aloi lima-jejari 17-inci (seperti foto di atas) berbanding 18-inci pada model C 200.

Di dalamnya, rekaan Avantgarde Line cukup menonjol dan juga mempunyai persamaan antara C 180 dan C 200 Avantgarde. Walau bagaimana pun, jika dilihat pada risalah spesifikasi, ia hanya menampilkan zon-tunggal penghawa dingin dan tempat duduk hadapan tidak disertakan dengan fungsi memori. Dan pencahayaan ambien serta kamera undur tidak ditampilkan pada C 180 ini.

Selain itu, ia kelihatan standard, sama seperti C 200 Avantgarde. Kekemasan asas hitam berkilat dibentangi pada bahagian tengah bersama kulit upholstery Artico, sistem hiburan Audio 20 CD (pra-pemasangan GPS Garmin Map) dengan skrin paparan tujuh-inci dan Mercedes-Benz Touchpad pada konsol tengah. Tiada kemasukan tanpa kunci (hanya penghidup enjin tanpa kunci), seperti model C 200.

Manakala Mercedes-Benz C 300 AMG Line baharu ini lebih spesifik menyamai model C 250 AMG Line, tetapi dengan enjin bertalaan-tinggi, rim aloi lebih besar 19-inci, sistem ekzos sport dan sistem kawalan suhu automatik dengan tiga zon suhu. Ini menyebabkan ia lebih mahal sebanyak RM20k berbanding C 250.

Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,300 dan 4,000 rpm iaitu lebih 34 hp dan 20 Nm berbanding C 250 (211 hp/350 Nm). Jika C 250 boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.6 saat, C 300 pula hanya 5.9 saat, tetapi memiliki kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi penukaran tork automatik 7G-Tronic tujuh-kelajuan, dan ia turut menerapkan bahagian luaran AMG Line termasuk dipadankan dengan suspensi sport, dengan jarak yang lebih rendah sebanyak 15 mm. Malah C 300 juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport kawalan elektronik yang mampu menghasilkan bunyi ekzos yang lebih agresif hasil pelarasan injap pada alur paip dengan memilih mod Sport+ pada fungsi Dynamic Select.

Selain dari logo rekaan khas, perbezaan lain antara C 300 dan C 250 ialah saiz rodanya. C 300 baharu dilengkapi dengan roda AMG pelbagai-jejari 19-inci, sementara C 250 pula lima-jejari 18-inci. Namun kedua-duanya memiliki persamaan identiti termasuk kit luaran AMG Line – bampar yang lebih sporty, skirt sisi dan cakera brek hadapan berliang.

Lebih kurang sama seperti C 250, C 300 ini juga dipadankan dengan gril radiator dua-bar dengan Three-Pointed Star di tengah dan lampu utama LED Sistem Pencahayaan Pintar dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Model ini juga dipadankan dengan bumbung matahari.

Bahagian dalaman C 300 AMG Line juga tidak banyak berbeza dengan C 250, ia dilengkapi dengan tempat duduk sport AMG Line, roda stereng leper di bawah dan papan pemuka dengan balutan kulit Artico. Malah kekemasan kayuan berwarna hitam juga menjadi hiasan pada bahagian tengan papan pemuka, serta turut menampilkan jam analog. Corong penghawa dingin juga dilingkari kekemasan krom dengan identiti AMG Line.

Selain itu, ia turut menampilkan sistem hiburan COMAND Online (dengan navigasi), skrin paparan 8.4-inci dan touchpad pada konsol tengah. Malah ia didatangkan dengan 13-speaker, sistem bunyi sekeliling Burmester 590-watt sebagai standard. C 300 turut dilengkapi dengam Bantuan Parkir Aktif (sama seperti C 180), kamera undur, kemasukan tanpa kunci, kawalan penutup bonet belakang dan pakej wangian Air-Balance.

Imbas kembali harga atas jalan (tanpa insurans) bagi model pemasangan tempatan varian W205 Mercedes-Benz C-Class di Malaysia adalah seperti berikut :

Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line – RM228,888
Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line – RM248,888
Mercedes-Benz C 200 Exclusive Line – RM252,888
Mercedes-Benz C 250 AMG Line – RM287,888
Mercedes-Benz C 300 AMG Line – RM307,888

GALERI: Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line

GALLERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line