Semasa pelancaran globalnya, Mercedes-Benz S-Class W222 facelift didedahkan dengan hanya beberapa konfigurasi, tetapi kini ia telah ditambah, menjadikan keseluruhannya terdapat 24 varian.

Varian yang ada sebelum ini adalah S 350 d 4Matic (286 hp/600 Nm) dan S 400 d 4Matic (340 hp/700 Nm) yang menggunakan enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter turbodiesel, dan untuk yang berenjin petrol pula adalah S 560 4Matic dan S 63 4Matic+ yang menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter dengan kuasa masing-masing 469 hp/ 700 Nm dan 612 hp/ 900 Nm.

Ini kemudiannya diikuti model S 65 paling berkuasa, menggunakan enjin petrol V12 6.0 liter biturbo yang berkemampuan 630 hp dan 1,000 Nm tork dan S 560 4Matic, yang menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter seperti varian S 560 4Matic bukan Maybach yang disebut di atas.

Kini, tiga lagi varian berenjin petrol ditambah kepada barisan sedan S-Class baru ini. Untuk S-Class biasa, tambahan baru ini terdiri daripada S 450 4Matic dan S 500, yang menggunakan enjin enam silinder sebaris petrol 3.0 liter M256. Enjin baru ini turut datang bersama starter/alternator dalaman 49 volt yang boleh memberikan tambahan 16 kW (21 hp) dan 250 Nm tork sekiranya perlu.

Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin kenderaan ini masing-masing adalah 362 hp dan 500 Nm untuk S 450, dan 429 hp dan 520 Nm untuk S 500. Menurut Mercedes-Benz, enjin baru ini juga menghasilkan pengeluaran karbon yang 2% lebih rendah berbanding enjin V8 4.7 liter biturbo pada S 500 sebelum ini.

Varian paling tinggi bagi S-Class biasa adalah S 600, yang mendapat kuasa sebanyak 523 hp dan 830 Nm daripada enjin V12 6.0 liter biturbo. Tambahan terakhir adalah Mercedes-Maybach S 650, yang juga menggunakan enjin V12 sama seperti S 600, tetapi mempunyai kuasa sebanyak 621 hp dan 1,000 Nm tork.

Model yang mempunyai ‘4Matic’ pada namanya dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda jenama itu, manakala yang lain dilengkapi dengan sistem pacuan dua roda belakang. Selain daripada itu, bagi versi Mercedes-Maybach, pelanggan boleh memilih jarak roda lebih ‘ekstra panjang’ (X222), dan model Mercedes-AMG hanya boleh didapati dalam versi jarak roda panjang, bersama S 600.

Bagi varian S-Class yang lain (S 350 d 4Matic, S 400 d 4Matic, S 450 Matic, S 500, S 560 4Matic), pelanggan boleh memilih sama jarak roda pendek (W222) ataupun jarak roda panjang (V222). Selain penambahan ini, Mercedes-Benz turut mendedahkan bahawa Mercedes-Maybach S 650 dan Mercedes-AMG S 65 akan datang secara standard dengan sistem suspensi Magic Body Control. Sistem suspensi aktif ini juga ditawarkan sebagai pilihan pada S 560 dan Mercedes-Maybach S 560.

Mercedes-AMG S 63 4Matic+ 2018

Mercedes-AMG S 65 2018

Mercedes-Maybach S 560 4Matic 2018

Mercedes-Benz S-Class 2018