Jadi, macam mana, dah tengok penampilan terbaru Honda HR-V facelift 2018? Anda rasa cukup menarik? Kalau masih belum memadai, dan nak imej yang lagi ranggi dan sporty, Honda turut memperkenalkan dua kit badan pilihan sebagai iringan – kit penggayaan Modula dan Mugen.

Kit Modulo seperti yang dilihat pada unit Lunar Silver ini datang dengan beberapa perincian yang berbeza, misalnya kit bahagian depan, sisi dan belakangnya. Pakej ini boleh dimiliki secara berasingan, dengan harga sekitar 79,488 yen (RM2,905).

Jika ada pelanggan yang mahu lebih lagi, mereka boleh memilih skid plate sebagai tambahan kepada kit badan berkenaan, serta mud guard yang diwarnakan pada harga 15,120 yen (RM553) dengan tema yang sama. Selain itu, Honda turut menawarkan spoiler yang lebih besar dan roof rail pada harga 27,000 yen (RM987) setiap satu.

Jika ingin lebih elemen berkilau, pelanggan boleh memilih perumah lampu kabus krom dengan DRL LED kedua (54,000 yen atau RM1,974), kemasan pada fender (21,600 yen atau RM789) dan rangkaian rim aloi dengan saiz antara 16 hingga 18 inci. Rim berkenaan (tanpa tayar) dijual pada harga bermula 69,120 yen (RM2,526) bagi saiz 16 inci hinggalah 207,360 yen (RM7,578) bagi saiz 18 inci paling tinggi.

Selain itu, kit Mugen Infinite turut ditawarkan bagi Vezel RS – imejnya juga lebih sporty dan garang berbanding kit Modulo. Ia terdiri daripada kit badan depan, sisi dan belakang, spoiler belakang berkembar, visor pintu aerodinamik dan set rim aloi dwi-tona MD5. Jika mengambil kira set lengkap, kos naik tarafnya adalah sekitar 369,360 yen (RM13,500). Kit ini hanya akan mula beredar pada bulan Mei 2018.

Bagi set Mugen, tak hanya naik taraf kosmetik ditawarkan. Ada juga beberapa kit untuk memberikan prestasi yang lebih baik – penapis udara prestasi tinggi (16,200 yen atau RM592), sistem ekzos sport (102,600 yen atau RM3,750), minyak enjin Motul 0W20 berkelikatan rendah (3,024 yen atau RM111) dan tin tadahan minyak prestasi tinggi (2,808 yen atau RM102).

Kedua-dua kit Mugen dan Modulo turut menawarkan naik taraf suspensi, tetapi versi Mugen akan mengurangkan ketinggian kenderaan sebanyak 25 mm. Mugen juga turut menawarkan pad brek prestasi tinggi (19,440 yen or RM711) dan minyak brek prestasi tinggi (3,240 yen or RM118).

Bagaimanapun, bagi kit Mugen, tak banyak pilihan untuk ruang dalaman. Yang ada cuma perumah cermin pandang belakang gentian karbon (11,880 yen atau RM431), tombol gear gentian karbon dan butang Start/Stop khas Mugen (masing-masing 19,440 yen atau RM711). Tak lupa juga karpet Mugen (24,840 yen atau RM907).

Bagi Modulo pula, senarai kitnya lebih banyak. Ini termasuk pencahayaan pada dasar pintu, pembalut kulit bagi tempat duduk dan tombol gear, penyusun kargo, sistem infotainmen Gathers dengan sistem tunjuk arah serta sistem bunyi talaan Diatone Sound. Bagi anda, mana satu yang lebih menarik, kit Mugen atau Modulo?

Honda HR-V facelift 2018 Mugen

Honda HR-V facelift 2018 Modulo