Menurut bekas ketua pegawai eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Proton pernah mempunyai perancangan untuk pelbagai model menarik dan teknologi maju pada masa sebelum ini. Beliau mendedahkan perkara ini dalam laman Facebook, bersama gambar kenderaan yang dimaksudkan.

Antaranya adalah idea Gen2 dengan bentuk wagon yang direka oleh Russel Carr, yang kini bekerja sebagai ketua bahagian rekaan Lotus Cars. Sementara itu, lukisan model konsep GX-MPV dan sebuah lagi model oleh Edag Zawawi menunjukkan rekaan alternatif yang boleh menjadi MPV pertama Proton – sekarang sudah keluar Exora.

Tengku Mahaleel juga menyatakan Tengku Djan pernah terlibat dengan projek Sepang, untuk menghasilkan kenderaan sports pertama Malaysia. Model ini membawa persamaan dengan Lotus Europa, dan bagi mereka yang pernah pergi ke Kuala Lumpur International Motor Show 2010 pasti ingat dengan model konsep Lekir.

Melihat kepada platform SRM (Model Pengganti Satria) yang digunakan untuk Satria Neo pula, ia juga boleh menjadi asas kepada pelbagai model yang termasuk sedan empat pintu, hatchback lima pintu, model dengan bumbung boleh buka (convertible), serta juga MPV.

Sama seperti Satria generasi pertama, varian GTi juga sebelum ini sedang dibangunkan untuk Satria Neo generasi kedua, bersama versi lumba. Walaupun Satria Neo GTi akhirnya tidak menjadi kenyataan, model yang menggunakan enjin CPS ini ada menerima peningkatan gaya seperti GTi, dan versi R3 seperti Lotus Racing.

Semasa enjin CamPro masih digunakan, Proton sudah pun sampai dalam proses menguji barisan enjin baru (NEF), yang termasuk unit 2.2 liter dan V6 3.0 liter. Menurut Tengku Mahaleel, enjin ini “lebih baik, lebih murah dan lebih berkuasa berbanding enjin Petronas.”

Beliau juga menambah bahawa enjin V6 itu direka supaya pada masa hadapan ia boleh dikecilkan kepada tiga silinder sekiranya perlu. Selain itu, bagi unit V6 pula – yang boleh dipasang dengan supercharger – didakwa boleh menjadi peneraju untuk pelbagai aspek, dan mempunyai kuasa lebih 400 hp.

Selain perancangan model ini, Tengku Mahaleel turut mendedahkan gambar kewangan pendapatan unit jualan dan keuntungan yang dicatat oleh beberapa pengurusan Proton sebelum ini, dari tahun 1985 hingga 2011. Apa pendapat anda dengan model-model serta catatan kewangan yang didedahkan oleh Tengku Mahaleel ini?