Williams Adavanced Engineering telah mendedahkan perincian untuk FW-EVX, iaitu satu platform baru kenderaan elektrik serba ringan yang akan dipertontonkan semasa acara JEC World 2018 di Paris. Platform ini pertama kali ditunjuk dalam satu acara tahun lepas, dan diterapkan dengan teknologi yang ditimba oleh syarikat itu dalam perlumbaan Formula One dan Formula E.

Menurut Williams, platform FW-EVX ini sedia mengikut skala yang diperlukan untuk kenderaan segmen C dan D, dan melibatkan inovasi maju sistem penyejukan, komponen serba ringan dan proses pemasangan.

Pada aspek penyejukan, modul tengah komposit karbon dan lapisan aluminium pada platform FW-EVX juga mempunyai rel tepi casis yang boleh menyampaikan udara sejuk ke bahagian pek bateri, serta bertindak sebagai zon remuk untuk menyerap hentakan sekiranya berlaku perlanggaran.

Udara ini dikumpul melalui salur yang terdapat pada bahagian hadapan kenderaan, yang kemudiannya melalui bahagian radiator, sebelum keluar di belakang melalui diffuser aerodinamik. Cara ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya seretan aerodinamik, tetapi juga dapat memberikan daya tolakan ke bawah tambahan kepada kenderaan.

Demi meningkatkan lagi kecekapan sistem penyejukan ini, modul bateri FW-EVX menggunakan tapak plet aluminium yang dilekatkan pada lantai konduktif haba, sekaligus bertindak sebagai penyerap haba. “Tahap tinggi integrasi menghasilkan kitaran berpusing, di mana setiap peningkatan pada berat dan fungsi kenderaan membawa kepada manfaat tambahan,” kata pengarah teknikal Williams Advanced Engineering, Paul McNamara.

Untuk bahagian bateri itu sendiri, Williams telah membangunkan satu cara baru untuk menghasilkan engsel dalam satu bentuk komposit, yang dapat membenarkan struktur 3D dibina daripada bahan 2D, kemudiannya dilipat apabila perlu. Mereka memanggilnya sebagai proses 223, dan digunakan untuk pembinaan modul bateri yang rendah dan nipis.

Platform FW-EVX juga menggunakan bahan komposit ringan untuk mengurangkan beratnya, seperti pada wishbone suspensi – menggunakan 80% komposit karbon kitar semula, yang 40% lebih ringan berbanding aluminium forged, dan tidak mempunyai kos pengeluaran yang jauh berbeza.

Bagi digunakan pada kenderaan segmen C biasa, platform ini boleh mencatat berat cuma 955 kg, dan ini termasuk semua suspensi wishbone, sehingga empat motor elektrik (satu di setiap roda), transmisi 4WD, sistem stereng dan pek bateri lithium ion 80 kWh seberat 350 kg.

Williams mensasarkan dua set pelanggan untuk FW-EVX iaitu pengeluar kenderaan yang mencari platform kenderaan elektrik generasi seterusnya yang dapat memberikan banyak kelebihan pada rekaan bersepadu, dan mereka yang mencari teknologi bahagian spesifik tertentu untuk platform mereka sendiri.