Wakil kami sekarang berada di Bangkok International Motor Show (BIMS), Thailand dan antara model menarik yang dapat dilihat di sana adalah Toyota C-HR yang dilengkapi dengan kit aksesori TRD dan Modellista. Pesaing Honda HR-V dan Mazda CX-3 ini nampak lebih ekstrem dengan kit ini.
Kereta berwarna merah dan hitam yang dapat anda lihat ini adalah C-HR TRD, di mana aksesori yang dilengkapi termasuk spoiler hadapan, spoiler belakang, spoiler di penutup but, hiasan pada gril depan, tambahan tepi fender lebih lebar berwarna hitam, rim 17 inci dan plastik hiasan pada cabang rim (warna perak). Pakej TRD ini dijual pada harga 75,900 baht (RM9,447).
Satu lagi C-HR, iaitu yang berwarna putih pula dilengkapi dengan kit penuh Modellista. Ia nampak lebih elegan, dan ada kemasan yang sekadar untuk hiasan. Sebagai contoh, bukan semua lubang udaranya terbuka, dan ada yang tertutup. Dua muncung ekzos yang terjuntai di belakang juga adalah sekadar hiasan. Kit Modellista ini masih belum dibuka untuk jualan di Thailand.
C-HR adalah sebuah model yang dikeluarkan di kilang Toyota di Chachoengsao, Thailand, dan ia dieksport ke lebih 100 negara termasuk Malaysia. Di negara gajah putih ini juga, C-HR dijual dalam dua versi iaitu yang dikuasakan oleh enjin 1.8 liter NA berkuasa 140 PS/175 Nm dan 1.8 liter hibrid 98 PS/142 Nm.
C-HR 1.8L dijual di Thailand dalam dua pilihan trim, dan harganya masing-masing adalah 979,000 baht (RM120,954) dan 1.039 juta baht (RM128,367). C-HR 1.8 Hibrid juga datang dalam dua varian dan harganya pula adalah 1.069 juta baht (RM132,083) dan 1.159 juta baht (RM143,203).
Memikirkan tidak semua pelanggan mahu mendapatkan pakej aksesori yang lengkap, Toyota Thailand juga ada menjual pelbagai aksesori bukan TRD secara berasingan untuk C-HR. Ini termasuk pilihan warna luar hinggalah kotak tisu dan bantal yang mempunyai warna sama seperti kenderaan. Dalam pilihan aksesori ini, ada yang praktikal dan ada juga yang tidak seberapa.
Di Malaysia, C-HR telah pun mula dijual, dalam satu pilihan enjin sahaja, iaitu 1.8 liter NA, pada harga RM145,500. Minggu lalu, 50 pelanggan awal C-HR di Malaysia telah pun menerima kunci kenderaan mereka dalam satu acara meriah yang dibuat oleh UMW Toyota.
GALERI: Toyota C-HR Modellista di BIMS
GALERI: Toyota C-HR TRD di BIMS
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.