Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

Selepas diperkenalkan untuk peringkat global di Thailand bulan lalu, trak pikap berprestasi tinggi Ford Ranger Raptor dilancarkan pula secara rasmi pada pasaran negara tersebut ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2018. Harganya? Di Thai, Ranger Raptor dijual dengan nilai 1.699 juta baht (RM210,000).

Ia sememangnya agak mahal berbanding varian Ranger T6 lain, tetapi anda perlu ingat, ia bukan trak pikap biasa, tetapi seolah-olah versi ‘Type-R’ dalam barisan model. Ranger Raptor dijana enjin diesel EcoBlue 2.0 liter baharu, yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin ini mampu mengekstrak 213 PS/500 Nm, berbanding enjin 3.2 liter lima-silinder Duratorq pada Ranger standard yang menghasilkan 200 PS/470 Nm.

Enjin empat-silinder tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan, menggantikan transmisi 6R80 enam-kelajuan automatik pada Ranger T6 biasa. Kotak gear ini menawarkan nisbah gear yang lebih lebar, bersama daya pecutan dan tindak balas yang lebih pantas serta penukaran gear yang lebih laju.

Perubahan mekanikal lain yang turut membezakan model lebih liar ini dari versi biasa adalah angkup brek hadapan dengan dua-pot 9.5 mm lebih besar bersama cakera berliang 332 mm, dan juga angkup omboh tunggal 54 mm pada bahagian belakang.

Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa. Ia juga diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci

Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, serta direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar. Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan.

Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

Adakah model ini akan di bawa ke Malaysia? Nampaknya hampir pasti kerana laman khas untuk model berkenaan telah muncul pada laman sesawang rasmi Ford Malaysia untuk sesiapa yang berminat bagi mendaftarkan minat mereka, selepas pendedahan model ini diperingkat global. Dan semestinya trak pikap yang dibina lebih ditumpukan untuk dipandu laju dalam kebun sawit lebih dari membawa sawit itu sendiri ini tidak akan dijual pada harga trak pikap biasa.

GALERI: Pendedahan Ford Ranger Raptor untuk peringkat global di Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required