ASEAN NCAP Q2 2018 – Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush terima penarafan 5-bintang

ASEAN NCAP Q2 2018 – Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush terima penarafan 5-bintang

Hari ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengumumkan keputusan untuk suku kedua (Q2) 2018 bagi Ujian Penilaian Kereta Baharu Asian Tenggara (ASEAN NCAP). Tiga model yang diuji adalah Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush 2018, di mana kesemuanya menerima penarafan lima-bintang.

Malahan ketiga-tiga model terbabit juga telah diuji di bawah sistem penarafan untuk protokol baharu 2017-2020 yang mula dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu. Ini termasuklah ujian bagi sistem informasi titik buta sebagai kriteria penting bagi mendapatkan markah tinggi dalam ujian bagi kategori Teknologi Bantuan Keselamatan (SATs).

Hyundai IONIQ Hybrid telah menerima markah keseluruhan sebanyak 91.98 mata. Di mana bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), model ini menerima 46.34 mata daripada markah keseluruhan 50.00. Manakala untuk kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak pula, ia menerima 21.48 mata daripada markah keseluruhan 25.00 dan 24.17 mata dari markah penuh 25.00 bagi SATs.

IONIQ yang dijual di pasaran Malaysia, dilengkapi dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Peringatan Pemakaian Tali Pinggang Keledar (SBR), serta teknologi keselamatan termaju termasuk Brek Kecemasan Sendiri (AEB), Amaran Penukaran Lorong (LDW), sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA).

Toyota Rush (kiri) & Toyota C-HR (kanan)

Bagi suku kedua ini juga, ASEAN NCAP turut menguji Toyota Rush 2018 iaitu model spesifikasi Indonesia, yang menerima markah keseluruhan sebanyak 84.03 mata. SUV tujuh-tempat duduk ini menerima 43.25 mata bagi AOP, 21.33 mata untuk COP manakala kategori SATs pula sebanyak 19.44 mata.

Rush dilengkapi dengan kit keselamatan termasuk enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan dan pengingatan tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya sebagai standard untuk semua varian. Buat setakat ini, UMW Toyota Motor masih tidak mendedahkan adakah Rush ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan mahu pun tidak.

Model ketiga bagi suku kedua ini pula ialah juga keluaran Toyota iaitu C-HR yang telah pun mula berada di jalan raya kita. C-HR menerima markah keseluruhan sebanyak 91.31 mata. Bagi AOP, ia menerima 49.72 mata, manakala 20.86 mata untuk COP dan kategori SATs dengan 20.73 mata. Bagi aspek keselamatan, C-HR dilengkapi dengan tujuh beg udara (termasuk satu pada bahagian lutut pemandu), brek ABS dengan EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), cagak Isofix,Paparan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA). Walau bagaimana pun, model bagi pasaran Singapura dan Thailand menerima teknologi keselamatan termaju yang terdiri daripada AEB, LDW, FCW dan LKA.

Dalam majlis yang sama, Galeri MIROS juga telah dilancarkan dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Hj.Saripuddin Hj.Kasim. Galeri ini dibina dengan objektif utama bagi mempamerkan pencapaian MIROS dalam membentuk ekosistem automotif yang lebih selamat di Malaysia. Ia terletak di bangunan MIROS di Taman Kajang Sentral, Kajang. Menurut Ketua Setiausaha ASEAN NCAP, Ir. Dr. Khairil Anwar Abg Kassim, galeri ini dijangka akan lengkap sepenuhnya pada penghujung tahun ini dan turut menempatkan model keratan rentas Proton Iriz.

GALERI: Toyota C-HR

GALERI: Hyundai Ioniq HEV Plus

GALERI: Toyota Rush 2018 spesifikasi Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required