Kereta sport kei dari Honda, S660 kini ditawarkan dalam versi Modulu X di Jepun yang menampilkan barisan aksesori baharu. Penambahbaikkan diberi bukan sahaja dari segi rupa, malah turut menyentuh sedikit aspek pengendalian.

Pada bahagian luaran, S660 Modulo X ini diberikan bampar baharu dengan liang udara palsu lebih besar, gril kemasan hitam dan sepasang lampu nyalaan siang LED. Kemasan hitam berkenaan turut diberikan pada cermin sisi dan juga berberapa bahagian pada panel skirting.

Manakala pada bahagian belakang pula, model istimewa ini diberikan bampar belakang dengan rupa yang lebih sporty menampilkan kemasan seperti diffuser dan juga perumah untuk tip ekzos pada bahagian tengah. S660 Modulo X ini juga diberikan spoiler belakang aktif.

Set rim baharu juga ditawarkan pada kit ini, menampilkan rim staggered dengan dimensi berbeza – 15 inci pada bahagian hadapan, 16-inci untuk belakang – serta diberi kemasan hitam.

Masuk ke kabin, model ini menerima tempat duduk balutan kulit dua tona bersama fabrik Lux Suede. Serlahan berwarna merah turut diberikan pada pelbagai panel dan bahagian, bersama perincian lain seperti set pedal aluminium, tombol gear titanium, tuil gear tangan balutan kulit, karpet kaki khas serta logo-logo Modulo X pada tempat sepatutnya.

Selain itu, S660 Modulo X ini turut diberikan penyerap hentak boleh laras dengan lima peringkat, serta brek sistem lebih baik menampilkan cakera yang ditebuk serta pad brek berprestasi tinggi.

Namun untuk unit janakuasa, model ini masih lagi sama seperti versi standard. Jadi ia dibekalkan dengan enjin petrol turbo tiga-silinder DOHC 660 cc, yang mampu menjana 64 hp/104 Nm. Dua sistem transmisi boleh dipilih, sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik.

Empat warna badan boleh ditawarkan untuk pelanggan iaitu kelabu gelap, perak, putih dan biru, digabungkan bersama bumbung boleh buka dengan fabrik berwarna merah. Di Jepun, Honda S660 Modulo X ini dijual pada harga 2,850,120 yen, atau sekitar RM103,725 (termasuk 8% cukai gunaan).