Selepas Audi Q8, pengeluar kereta Jerman ini telah mula mengeluarkan teaser bagi A1 2019, yang dijangka akan diperkenalkan di Barcelona, Sepanyol pada tahun ini. Hanya satu generasi sahaja setakat ini, di mana ia pertama kali didedahkan pada tahun 2010 dan model facelift terkini pada 2015.

Fokus utama bagi teaser ini adalah berkenaan dengan dalamannya, terutamanya pada paparan skrin sesentuh MMI, yang kini disambungkan ke papan pemuka berbandung unit sendirian pada generasi semasa. Malahan corong pendingin hawa berbentuk bulat juga telah digantikan dengan unit yang lebih bersudut umpama bingkai pada perumah instrumen.

Turut kelihatan ialah pengawal bagi sistem kawalan suhu automatik serta haba bagi tempat duduk. Selain itu, tidak banyak yang dipaparkan menerusi teaser pertama ini dan dipercayai akan ada teaser susulan. Turut dijangkakan kokpit maya Audi juga akan ditampilkan.

A1 baharu ini dijangka menggunakan platform MQB dari Volkswagen Group (turut digunakan pada Seat Ibiza dan VW Polo), dan ia bakal dijanakan oleh beberapa pilihan enjin. Ini termasuklah enjin asas 1.0 liter, tiga-silinder baharu bersama enjin 1.5 liter pengecas turbo baharu dengan kuasa 150 PS. Juga sama seperti varian S1 prestasi tinggi, yang menerima hamburan 200 PS dari enjin 2.0 TSI dari Polo GTI.

GALERI: Spyshot Audi A1 2019