Daihatsu Boon tidak pernah dijual di Malaysia, namun rata-rata rakyat di negara kita kenal akan hatchback kompak berkenaan kerana ia adalah kembar kepada kereta ikonik Malaysia iaitu Perodua Myvi generasi pertama dan kedua. Di Gaikindo Indonesia International Auto Show tahun ini, selain mempamerkan Myvi generasi ketiga dengan logo Daihatsu Sirion, jenama berkenaan turut membawa sebuah model custom Boon generasi baharu terus dari Jepun yang digelar Daihatsu Boon Active.

Seperti namanya, Boon Active ini sebuah kereta yang telah diubahsuai sebagai model ‘acah-acah’ SUV, menampilkan pelbagai peralatan bagi menampakkannya lebih lasak. Daihatsu juga sebenarnya telah pun mempamerkan kereta ini di Tokyo Auto Salon 2018 yang berlangsung pada Januari lalu.

Berbanding model statndard, Boon Active ini menerima pelindung badan berwarna hitam pada bahagian bawah, skid plate palsu pada hadapan dan belakang, overfender pada setiap ruang roda dan juga rel bumbung. Bampar hadapan dan belakang juga menerima lampu kabus dengan kemasan perumah yang besar.

Badan kereta ini diberikan warna biru bersama jalur serlahan oren pada gril hadapan, kemasan atas nombor pendaftaran belakang, rel bumbung dan juga sedikti pada bahagian atas overfender serta disekeliling rim. Elemen biru yang sama turut di bawa ke bahagian kabin kereta ini.

Di Jepun, Boon mempunyai dua model dengan karekter berbeza diperkenalkan pada masa yang sama (seperti adik-beradik Toyota Levin dan Sprinter Treuno) iaitu model Boon Cliq dengan lampu hadapan bulat, dan juga model standard seperti pada versi Active ini. Ia dijana oleh enjin 1KR-FE Topaz-Neo 1.0 liter tiga-silinder DVVT berkuasa 69 PS dan tork maksima 92 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, manakala sistem 4WD turut ditawarkan sebagai opsyen.