KPDNHEP digesa pantau ejen penarik kereta

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji semula keberkesanan pengeluaran permin Ejen Pemilikan Semula (EPS). Ini kerana kebanyakan ejen penarik kereta didakwa gagak untuk mempamerkan permit EPS mereka dan surat lantikan rasmi dari bank yang mengarahkan mereka menarik kenderaan pelanggan, laporan Bernama.

Menurut ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, individu terbabit yang seolah-olah tidak mengendahkan kepentingan permit itu menunjukkan kegagalan KPDNHEP menguatkuasakan undang-undang membabitkan penarikan kereta secara menyeluruh.

Mengikut semakan PPIM, katanya kriteria pemilikan permit juga didapati tidak ketat termasuk tidak perlu hadir untuk sesi temuduga.

?Permit itu boleh dimohon menerusi sistem dalam talian, daripada permohonan itu kementerian akan buat saringan untuk mengetahui rekod jenayah individu terbabit. Banyak kelonggaran di situ. Mereka tidak tahu tahap pendidikan pemohon yang mana kita berpendapat sangat penting dalam hal ini. Kita mahu mereka yang menarik kereta mempunyai pengetahuan dan memahami selok-belok prosedur menarik kereta, bukan sekadar ?tangkap muat?,? katanya kepada pemberita, hari ini.

Malah beliau turut meminta kementerian terbabit untuk mengesahkan statistik mengenai pemegang permit EPS terkini dan perincian mengenai ahli penarik kereta terbabit sebagai panduan untuk para pengguna. “Buat masa ini, kita tidak tahu berapa jumlah sebenar pemegang permit EPS atau sesetengah dari mereka menyalahgunakan permit,” ujarnya.