Selepas skandal pemalsuan keputusan ujian ekonomi penggunaan bahan api dan pencemaran yang membabit Nissan dan Subaru baru-baru ini, kini tiga lagi pengeluar automotif Jepun didakwa melakukan perkara yang sama – Mazda dan Yamaha buat pertama kali, manakala Suzuki dikesan buat kali kedua setelah kes awalan dijumpai pada tahun 2016.

Menurut laporan Nikkei Asian Review, skandal terbaharu ini telah pun disahkan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun. Perkara ini dikesan apabila kementerian berkenaan menggesa kesemua pengeluar automotif di negara matahari terbit tersebut untuk membuat siasatan semula terhadap prosedur ujian mereka setelah Nissan dan Subaru dikesan melakukan kesalahan yang sama.

Portal berita berkenaan menyatakan bahawa kesemua yang dikesan melakukan kesalahan ini membuat ujian menerusi sampel yang dipilih ketika proses penilaian kualiti dan namun ia telah diuji dengan situasi pemanduan yang tidak betul.

Suzuki dikesan menjalankan ujian yang tidak betul berkenaan keatas 6,401 unit dari 12,819 kenderaan sejak 2012, Mazda dengan 72 unit dari 1,875 unit kenderaan sejak 2014, manakala Yamaha pula dikesan sebanyak tujuh unit dari 335 unit kenderaan sejak 2016.

Justeru, Presiden Suzuki Toshihiro Suzuki telahpun mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas apa yang dilakukan oleh syarikatnya. “Ia adalah fakta yang signifikant bahawa terdapat sejumlah besar produk kami yang dihasilkan dengan tidak betul, dan kami ambil perkara ini secara serius,” katanya dalam satu sidang akhbar.

“Kami gagal untuk mendidik staf kami dengan cara yang mendalam dan ekstensif,” tambahnya lagi. Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan belum lagi merancang untuk melakukan apa-apa panggilan semula berhubung perkara ini buat masa sekarang.

Kementerian pengangkutan Jepun akan merombak ordinan mereka bagi meminta pengeluar automotif untuk menyimpan keputusan ujian bagi kenderaan-kenderaan yang diproduksi dan mengambil jalan penyelesaian bagi mengelakkan pemalsuan data seperti ini.

“Ia sangat mengecewakan bahawa situasi ini membuatkan pengguna bimbang terhadap kualiti kenderaan dan operasi kawalan kualiti pembuat automotif,” kata Menteri Pengangkutan Jepun Keiichi Ishii.

Kes ini telah menyebabkan harga saham ketiga-tiga syarikat terlibat jatuh pagi ini. Pada satu tahap, saham Suzuki dan Yamaha jatuh sehingga 5% sejak semalam. “Harga saham pengeluar automotif terlibat jatuh apabila penipuan ini dikesan. Harga saham Yamaha turut menunjukkan trend menjunam,” kata seorang penganalisa dalam laporan Nikkei Asian Review tersebut.

Skandal seumpama ini dikesan buat pertama kali pada April 2016, yang membabitkan Mitsubishi Motors Corporation (MMC). Ia meninggalkan impak yang cukup besar terhadap jenama berkenaan apabila saham mereka jatuh serta terpaksa membayar pampasan berjumlah 50 billion yen, dan akhirnya firma berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Renault Nissan dengan pegangan saham sebanyak 34%.