Boon Siew Honda Sdn Bhd melancarkan model skuter baru untuk pasaran Malaysia iaitu Vario 150. Ia menjadi tambahan kepada skuter lain yang ditawarkan oleh syarikat itu seperti PCX, Beat, Spacy dan Air Blade, dengan menawarkan reka bentuk yang sporty serta tunggangan yang berprestasi.

Vario 150 dikuasakan oleh enjin satu siilnder 149.3 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan mampu menghasilkan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik V-Matic.

Selain penampilan sporty bersama unit LED untuk semua lampu seperti lampu hadapan, lampu siang, lampu belakang dan lampu penunjuk arah, skuter ini turut disediakan dengan ciri unik termasuk sistem kunci pintar dengan fungsi jawab kembali dan penggera anti kecurian, butang pemula enjin, panel meter gabungan LCD dan digital, serta sistem idling stop (enjin mati ketika berhenti dan hidup semula secara automatik apabila pendikit dipulas).

Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan ciri lain seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter yang boleh memuatkan helmet dan barangan lain, dua ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang, tangki bahan api 5.5 liter, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, rim 14 inci dengan tayar 90/80 di depan dan 100/80 di belakang, brek cakera di depan serta brek dram di belakang. Walaubagaimanapun, skuter ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek ABS.

Orang ramai boleh memilih empat warna untuk Vario 150 ini iaitu hitam/merah, perak/kuning serta biru/perak yang dijual pada harga RM7,199, manakala model Repsol Edition pula dijual pada harga RM7,399. Harga ini tidak termasuk insurans serta kos pendaftaran lain, dan akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ogos ini di mana cukai SST sudah mula dikuatkuasakan. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

Istimewa sempena bulan kemerdekaan ini, Boon Siew Honda juga telah menunjukkan Vario 150 yang dicat khas dengan grafik mengikut 13 negeri di Malaysia (serta mengikut warna bendera Malaysia sendiri), namun ia hanya untuk pameran dan bukannya untuk jualan umum.