Lexus bakal menawarkan ciri Digital Outer Mirror, yang menmpatkan kamera dan skrin sebegai ganti cermin sisi, bermula dengan model saloon ES terbaru yang akan datang. Ia akan menjadi model kenderaan pengeluaran massa yang pertama dilengkapi dengan ciri berkenaan. Sebelum ini, Volkswagen hanya mengeluarkan 250 unit XL1 dengan ciri sama, manakala Audi e-tron pula belum memasuki pasaran.

Pada kedudukan cermin sisi biasa, ia digantikan dengan unit kamera serta di bahagian dalam ditempatkan pula skrin paparan bagi kedua-dua belah kiri dan kanan. Ini memberi kelebihan kepada kejelasan pandangan kepada pemandu dalam konteks untuk memerhatikan kenderaan dari arah belakang – ketika waktu malam atau dalam cuaca yang kurang baik.

Ia juga bukan sekadar paparan biasa; pandangan yang diberikan lebih lebar, terutama ketika pemandu sedang membelok kenderaannya dan juga sewaktu mengundur. Sistem berkenaan akan memberi tumpuan kepada keadaan persekitaran secara automatik – sebaik saja lampu isyarat diaktifkan atau gear undur dimasukkan.

Paparan skrin lima-inci itu pula ditempatkan pada sudut A-pillar dan boleh dilaraskan oleh pemandu. Sistem ini adalah lanjutan kepada ciri paparan penuh (FDM) digital bagi cermin pandang belakang yang telah pun ditawarkan oleh Lexus dan Toyota ketika ini.

Rekaan perumah yang menempatkan kamera di luar juga lebih tirus dan futuristik; sekali gus mengurangkan rintangan angin dan memberikan sudut pandangan depan yang lebih baik kepada pemandu. Ciri ini akan dipasangkan pada model Lexus ES terbaru yang akan memasuki pasaran Jepun hujung Oktober nanti.