Selepas memaparkan gambaran awal mengenai Lexus ES 2019 serba baharu, akhirnya pengeluar kereta tersebut mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai pesaing bagi BMW 5 Series, Audi A6 dan Mercedes-Benz E-Class.

ES generasi ketujuh (XV70) ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-K, yang turut digunakan pada model terkini Camry. Hasilnya, dimensinya turut berubah, di mana sedan ini memiliki 66 mm lebih panjang dan 46 mm lebih lebar, tetapi 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya dipertingkatkan sebanyak 51 mm, dengan +10 mm di hadapan dan +38 mm di belakang.

Bagi rekaannya, ES mengikut jejak langkah adik-beradiknya yang lebih besar, LS, dengan semakan yang lebih signifikan termasuk menampilkan gril gelendong. Bergantung pada varian – ES 250, ES 260 (spesifikasi-China), ES 350 dan ES 300h – gril dengan kepingan menegak atau paten cross-hatch ditampilkan.

Bentuk-Z dengan lampu utama tiga-elemen juga adalah baharu, walau pun tidaklah begitu langsing seperti yang ada pada LS. Unit pencahayaan didatangkan dengan sistem lampu tinggi adaptif dua-fasa, dengan 24 butir pelbagai cahaya LED bagi mengadaptasikan paten cahaya yang mampu memberikan iluminasi lebih baik dengan mengurangkan kesilauannya apabila ada kenderaan lain datang dari arah hadapan.

Pada bahagian belakangnya pula, ia kelihatan lebih menonjol dengan lampu baharu. Tingkap sisi juga berbentuk lebih signifikan, dan bebayangnya mampu membentukkan pandangan tiga-suku yang lebih dinamik.

Penampilan ini memiliki kesinambungan apabila melihat kereta ini daripada belakang dengan bampar dan boot lid yang ditampilkan bagi senada dengan “gaya X” di hadapan. Lampu belakang juga dilitupi kepingan kekemasan yang lebar yang turut menempatkan kamera undur, dan spoiler kecil pada boot lid serta logo Lexus yang diposisikan di bawahnya.

Terdapat tiga rekaan roda yang berbeza (dari saiz 17- hingga 18-inci) untuk ES 350 dan ES 350h, tetapi bagi F Sport ia diberikan pilihan 19-inci dengan unit yang lebih kurang sama dengan LC. Pakej F Sport didatangkan dengan spoiler belakang yang lebih menyerlah, valence belakang yang lebih rendah dan gelap serta cat metalik Heat Blue eksklusif. Palet standard mengandungi 12 warna, termasuk dua daripadanya adalah warna baharu – Moonbeam Beige Metallic dan Sunlight Green.

Di dalamnya pula, kabin ES telah diperbaharui dengan instrumennya kini terletak di antara perumah, tidak seperti pada LS dan LC, dengan dial kawalan yang lebih mudah dicapai seperti mana LFA. Malah ia juga menampilkan paparan digital teater pada kluster instrumen yang boleh berubah mengikut pemilihan mod pemanduan.

Bagi infotainmen, terdapat skrin standard 8-inci, atau pilihan unit 12.3-inci – kedua-duanya dipadankan dengan kawalan pad sentuhan Lexus pada konsol tengah. Selain itu, bahagian tengahnya juga bersambung dengan bentangan bagi butang untuk kawalan suhu dan sistem media. Jam analog turut diubah posisinya ke sebelah skrin infotainmen dan tuil gear juga adalah baharu.

Manakala penumpang di belakang kini boleh menikmati poin kedudukan pinggul dan headliner yang lebih rendah yang telah dikonfigurasikan bagi memberikan lebihan pada ruang kepala, sementara jarak roda yang lebih pajang memberikan ruang yang lebih luas untuk bahagian kaki. Warna dalaman juga hadir dengan beberapa pilihan termasuk Hitam, Chateau, Topaz Brown dan tona baharu Rich Cream.

Model dengan pakej F Sport mendapat kekemasan kabin metalik Hadori yang unik dengan menampilkan paten ‘gelombang turun naik’ untuk imej 3D, yang diinspirasikan daripada pedang tradisional Jepun. Model lain masih kekal menggunakan material tradisional termasuk buluh dan kayuan Shimamoku.

Semua ES 350 dijanakan oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan suntikan bahan api D4-S yang dipertingkatkan, dengan kuasa yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan. Penjana kuasa tersebut kini mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 hp dan tork 335 Nm, iaitu lebih 32 hp dan +19 mm berbanding model V6 terdahulu. Bagi pasaran terpilih, ES 250 juga dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter empat-silinder yang menampilkan Variable Valve Timing with intelligence (VVT i) dan penjimatan terma keseluruhan sebanyak 38%.

Bagi ES 300h pula, ia dipadankan dengan enjin petrol 2.5 liter Atkinson-cycle empat-silinder dengan motor elektrik yang lebih ringan, kompak, berkuasa, sistem hibrid pengecasan sendiri dan electronically controlled continuously variable transmission with intelligence (ECVT-i). Keseluruhan kuasa yang boleh dihasilkan mencecah 205 hp, dengan penjimatan 17 km/l.

Seperti yang disebut awal, ES kini menggunakan platform TNGA-K pacuan-roda hadapan, di mana Lexus menyatakan ia adalah persaing bagi platform Global Architecture-L pacuan-roda belakang yang digunakan pada LC dan LS bagi ketegarannya. Casis pula ditampilkan dengan rekaan suspensi double wishbone serba baharu, roda stereng berkuasa dan V-brace yang dipasang di tempat duduk belakang.

Sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) dengan pemboleh ubah peredam juga ditawarkan pada model F Sport, yang turut didatangkan dengan mod pemanduan Sport+ eksklusif. Ia mampu menggerakkan larasan enjin, transmisi dan suspensi supaya lebih agresif, bagi memberikan prestasi yang lebih maksimum, bersama Engine Sound Enhancement baharu.

Akhir sekali, semua versi bagi ES turut didatangkan dengan Lexus Safety System+ 2.0 sebagai elemen standard, yang kini turut menambah keupayaan baharu seperti pengesan basikal siang hari sebagai sebahagian daripada Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) yang mampu mengesan kenderaan dan pejalan kaki dari arah hadapan. Jualan bagi ES baharu ini dijangka pada hujung tahun ini.

GALERI: Lexus ES 300h 2019

GALERI: Lexus ES 350 F Sport 2019 (spesifikasi-US)

GALERI: Lexus ES 260 F Sport 2019 (spesifikasi-China)

GALERI: Lexus ES 2019