Penunggang cedera langgar tali pancing – bagaimana untuk jadikan laluan khas motosikal lebih selamat?

Penunggang cedera langgar tali pancing – bagaimana untuk jadikan laluan khas motosikal lebih selamat?

Bagi mereka yang tak pernah menggunakan laluan khas motosikal, kadang kala cerita-cerita yang “keluar” dari sana bunyinya seperti satu mitos, terutama ketika mereka cuba memahami kenapa ramai yang selalu mengelat dari menggunakan laluan khas yang telah disediakan itu dan selalu masuk ke aliran trafik utama.

Mungkin memang ada segelintir yang berbuat demikian, atas apa juga alasan. Tetapi, sekiranya hal-hal keselamatan di laluan khas berkenaan yang menjadi antara sebabnya, maka kaedah penyelesaian yang menyeluruh diperlukan untuk mengubah situasi ini.

Anda tentu pernah mendengar banyak cerita tentang perkara ini. Permukaan jalan berlubang dan tidak rata sehingga ada yang terjatuh, bukaan laluan khas yang sempit dan tak sesuai untuk menampung perjalanan selain daripada kapcai yang kapasiti enjinnya kecil, tempat-tempat banjir yang agak dalam sehingga penunggang terjatuh dalam takungan air, kes-kes rompakan di laluan yang sunyi dan banyak lagi.

Bukan tak ada penambah baikan yang dilakukan. Banyak kerja-kerja naik taraf yang sedang dan telah dijalankan. Misalnya, kini ada jambatan di kawasan-kawasan tertentu di laluan khas berkenaan (mungkin di kawasan kerap banjir). Tetapi, banyak lagi kerja-kerja yang sedang dilakukan seperti mengambil masa yang terlalu lama.

Penunggang cedera langgar tali pancing – bagaimana untuk jadikan laluan khas motosikal lebih selamat?

Ketika ini juga, jika anda menggunakan laluan khas motosikal, misalnya di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, dibeberapa kawasan, anda akan dilencongkan untuk masuk ke laluan utama kereta. Entah sebab apa, mungkin kerana kerja-kerja naik taraf yang dinyatakan itu tak kunjung siap. Bagaimana dan bila agaknya penunggang boleh menggunakan laluan berkenaan seperti yang sepatutnya?

Di media sosial baru-baru ini juga heboh tentang seorang penunggang motosikal yang termasuk “jerat” tali pancing yang sengaja direntangkan di laluan khas motosikal Lebuhraya Duke berdekatan Gombak. Seperti dilaporkan The Star, mangsa terbabit, Mohamad Afiq Izwan Ismail menyatakan kengerian dan kesakitan daripada kejadian itu seperti hampir “terputus kepala”.

Mujur beliau tidak menunggang laju di kawasan berkenaan, dan antara kecederaan yang terpaksa ditanggungnya adalah di bahagian leher, dengan kesan seperti dikelar. Jika dalam kelajuan tinggi, kecederaan yang mungkin perlu ditanggung boleh saja membahayakan nyawanya sendiri.

Cabaran paling utama ketika ini ialah bagaimana untuk menjadikan laluan khas motosikal itu selamat? Jika ia selamat dan selesa (dan tentunya mampu menampung jumlah motosikal yang banyak ketika ini), tentu saja penunggang tidak punya alasan untuk tidak menggunakannya.

Perhatian yang lebih terperinci diperlukan, dengan pemerhatian serta perancangan yang lebih menyeluruh dan holistik diperlukan untuk menilai semula rekaan rangkaian laluan khas motosikal ini dan bagaimana untuk menjadikannya lebih teratur dan bersepadu dengan rekaan laluan aliran utama bagi jenis kenderaan lain.

Penunggang cedera langgar tali pancing – bagaimana untuk jadikan laluan khas motosikal lebih selamat?

Di plaza tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) Taman Dato’ Harun misalnya. Jika anda naik motosikal melalui lorong khasnya untuk melepasi tol, dan selepas itu perlu untuk ke lorong paling kanan untuk menyusur memasuki Lebuhraya Persekutuan, anda perlu merentangi kira-kira enam atau tujuh lorong laluan kenderaan lain (yang mana di atas jalan tak ada jalur putih yang jelas kelihatan). Ini satu kerja yang “tak masuk” akal.

Puncanya mungkin hanya satu; nampaknya seperti rekaan laluan khas motosikal tidak difikirkan dengan terperinci dan diambil kira sejak awal ketika perancangan dan pembinaan lebuhraya-lebuhraya yang ada. Ia nampaknya hadir seperti sebuah afterthought; siap laluan utama barulah difikirkan macam mana nak diletakkan laluan khas motosikal ini.

Dah hal seperti yang dinyatakan ini bukanlah kes terpencil. Ia ada dibanyak lagi lebuhraya atau jalan-jalan besar yang lain. Selain rekaan dan rangkaian laluan yang caca-marba begini, mentaliti masyarakat kita juga masih jauh di belakang. Seperti kes yang menimpa Izwan ini, ia terang-terangan merupakan hasil dari tangan dan niat jahat manusia.

Seperti yang dinyatakan tadi, cabaran untuk kita semua ketika ini ialah bagaimana untuk menjadikan laluan khas motosikal itu lebih selamat? Tanggungjawab ini tidak hanya tergalas di bahu kerajaan semata-mata, bahkah sistem nilai dalam masyarakat juga perlukan berubahan. Jadi, ke mana kita selepas ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required