Bulan Ogos 2018, seperti yang kita sedia maklum, adalah bulan terakhir jualan kenderaan tanpa GST di Malaysia sebelum pelaksanaan SST (yang meyaksikan rata-rata harga bagi model CKD turun sedikit). Jualan pada bulan Jun dan Julai juga mencatatkan rekod terbaik bagi banyak jenama.

Namun bagi Ogos, angka berkenaan kembali turun. Statistik jualan kenderaan bagi bulan Ogos yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan angka 65,551 unit – ia merupakan penurunan jika dibandingkan dengan bulan Julai 2018.

Agak mengejutkan kali ini ialah Perodua, walaupun masih kekal mengungguli senarai jualan bagaimanapun mencatatkan penurunan yang agak ketara, iaitu sebanyak 25.3%; dari 23,830 unit pada Julai kepada 17,804 unit bagi Ogos 2018.

Hal berbeza pula dengan Proton, yang terus menyaksikan peningkatan jualan sepanjang tiga bulan tanpa GST yang berlangsung; meningkat 17.3% dari 8,102 unit pada Julai kepada 9,501 unit. Lebih menarik, Proton kini berada di tangga ketiga dan mengatasi jualan Toyota.

Dua pengeluar Jepun yang sinonim dalam pasaran tempatan juga berdepan dengan nasib sama – angka jualan yang menurun. Honda yang kekal ditempat kedua berjaya menjual 10,789 unit pada Ogos, penurunan yang agak besar iaitu 15.8% berbanding Julai 2018. Toyota pula kini ditempat keempat, “tewas” kepada Proton dari sudut angka jualan. Jenama gergasi Jepun ini berjaya menjual 8,795 unit pada Ogos, menurun 3.7% berbanding Julai.

Bagaimanapun, beberapa jenama pengeluar Jepun yang lain rata-ratanya menikmati peningkatan yang agak memberangsangkan berbanding bulan sebelumnya. Jenama serta peningkatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut; Isuzu (+95.4%), Mazda (+62.3%), Subaru (+47.6%), Mitsubishi (+43.7%) dan Nissan (+6.0%) .

Sementara itu, antara jenama lain yang menyaksikan peningkatan yang ketara ialah Ford (+59%) dan Volkswagen (+26.8%). Bagi jenama kenderaan premium pula, Lexus mencatatkan peningkatan paling tinggi dengan +157.1%. Volvo juga menikmati kelebihan dengan peningkatan +40.7%, sementara BMW juga berhasil meraih kenaikan +22.8%. Mercedes-Benz pula sebaliknya, dengan jualan menurun sebanyak 14.4%.