Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

Tahun lalu, jenama penala Volvo iaitu Polestar telah dipisahkan dan mereka dikenali sebagai jenama bebas yang membina kereta sport, dibuktikan dengan pendedahan Polestar 1 selepas itu. Tapi apa sudah jadi dengan kerjasama Polestar dan Cyan Racing yang berlumba dalam FIA World Touring Car Championship (WTCC)? Ini jawapannya – Cyan Racing kini bekerjasama satu lagi jenama di bawah payung Zhejiang Geely Holding Group iaitu divisi mewah Lynk & Co.

Untuk itu, Cyan Racing telah mendedahkan jentera perlumbaan untuk siri perlumbaan FIA World Touring Car Cup (yang menggantikan siri WTCC, serta menggunakan undang-undang TCR) musim 2019, iaitu kereta lumba Lynk & Co 03 TCR yang akan bersaing dengan tujuh lagi pengeluar global iaitu Audi, Alfa Romeo, Honda, Hyundai, Peugeot, SEAT dan Volkswagen. Bukan itu sahaja, malah Cyan Racing turut akan menghasilkan model konsep untuk jalan raya diinspirasikan dari jentera perlumbaan sebenar tersebut, digelar Lynk & Co 03 Cyan berkuasa 500 hp.

Kereta lumba dan model berprestasi tinggi berasaskan model sedan Lynk & Co 03 berkenaan menampilkan identiti seperti kereta lumba Volvo S60 Cyan Racing dengan warna biru dan serlahan-serlahan kuning seakan bendera Sweden. Ia turut diberikan rupa lebih garang dengan liang agresif pada bonet hadapan, fender lebih lebar dengan laluan aliran udara bersama rim, tayar dan brek lebih besar, apron belakang dengan diffuser dan dua tip akzos, serta GT-Wing yang besar pada bahagian belakang.

Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

Pengenalan model jalan raya berasaskan kereta lumba tersebut akan menjadi langkah pertama jenama dari China berkenaan kearah penawaran prestasi tinggi. Lynx & Co akan menggunakan pengalaman 20 tahun Cyan Racing bersama Volvo bukan sahaja dalam perlumbaan, malah dalam penghasilan model istimewa seperti Volvo C30 Concept dan juga Volvo S60 Concept.

“Gabungan antara Lynk & Co dan Cyan Racing akan membentuk ‘mata serampang’ untuk penampilan pertama kami dalam dunia pretasi tinggi automotif. Kombinasi cabaran Lynk & Co dalam konvensyen industri automotif dan pengalaman luas Cyan Racing dalam sukan bermotor dan prestasi tinggi adalah dua elemen utama dalam kerjasama unik ini,” kata Victor Yang, naib presiden komunikasi Zhejiang Geely Holding Group.

Untuk musim WTCC 2017, Volvo Cyan Racing ditabalkan sebagai juara kategori pengeluar, manakala pemandu utamanya, Thed Björk yang memandu Volvo S60 merangkul gelaran juara kategori pemandu. Pasukan tersebut tidak membina jentera TCR untuk musim tahun ini, dan kerjasama dengan Lynk & Co berkenaan akan meneruskan perjuangan Cyan Racing untuk musim hadapan.

Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

“Sasaran kami sebagai pasukan lumba adalah untuk merampas kembali Gelaran Dunia dan meneroka dunia prestasi automotif dengan gaya baharu bersama Lynk & Co. Kami akan menggunakan pengalaman kami dari projek-projek kereta prestasi tinggi untuk jalan raya biasa sebelum ini dengan data yang banyak yang kami dapat dari program perlumbaan menerusi beratus-ratus lap di litar lumba di seluruh dunia dalam keadaan yang ekstrem,” kata CEO Cyan Racing, Christian Dahl.

Thed Björk sendiri telah mendedahkan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR yang dibina oleh Geely Group Motorsport di majlis eksklusif diadakan di litar Fuji Raceway, Jepun. Beliau turut akan memandu kereta lumba tersebut untuk Cyan Racing bagi musim 2019.

“Untuk sekali lagi mensasarkan gelaran dunia apabila memulakan musim ketujuh saya bersama Cyan Racing adalah impian yang menjadi kenyataan. Terutamanya dengan gabungan kerjasama dengan Lynk & Co yang akan termasuk pembangunan kereta konsep berprestasi tinggi untuk jalan raya biasa adalah sangat menakjubkan,” kata Björk.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required