Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

Bagi mereka yang belum mengetahui, tahun hadapan prosedur ujian penggunaan bahan api dan pencemaran udara Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC) akan ditamatkan, dan ia akan digantikan sepenuhnya dengan prosedur yang dikenali sebagai World Wide Harmonised Light Duty Test Cycle (WLTC). Prosedur baharu ini bukan sahaja lebih ketat sehingga menyebabkan berberapa model terjejas seperti Volkswagen Golf R pasaran Eropah yang terpaksa dikurangkan 10 PS, malah versi GTI Mk.7.5 dan juga BMW M3 F10 dihentikan produksi, malah undang-undang baharu ini akan digunakan secara global dan bukan hanya relevan di Eropah

Apa yang membuatkan prosedur ini lebih ketat antaranya adalah ujian yang dijalankan lebih hampir dengan pemanduan dunia sebenar dan bukan hanya bergantung kepada ujian dalam makmal semata-mata. Namun dalam usaha antarabangsa yang mahukan kereta-kereta dijual dalam pasaran lebih mesra alam, adakah Malaysia hanya berdiam diri tanpa apa-apa usaha?

Untuk pengetahuan anda, tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah untuk penganjuran kali kedua Bengkel APEC bagi Dialog Polisi terhadap Platform Ekonomi Bahan Api. Acara yang diadakan bersama Persidangan Kualiti Udara Lebih Baik (BAQ) 2018, kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak.

Dalam acara tersebut, Institut Automotif Malaysia (MAI) turut mengumumkan apa yang sedang Malaysia lakukan kearah usaha berkenaan kepada komuniti global yang hadir. Pengumuman berkenaan adalah selari inisiatif global yang dijalankan oleh Inisiatif Ekonomi Bahan Api Global (GFEI).

Pengumuman ini disampaikan sendiri oleh CEO MAI, Dato Madani Sahari, dan menurutnya mereka kini sedang membangunkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC). Kajian untuk pembangunan tersebut diterajui oleh MAI bagi menghasilkan kaedah standard konsisten dengan prosedur WLTC. Ini akan menghasilkan kitaran pemanduan unik untuk Malaysia dalam masa yang sama diiktiraf secara global.

MDC ini tidak akan bertindan dengan WLTC, namun ia bakal memberikan satu set data yang spesifik untuk jalan raya, bentuk muka bumi dan juga keadaan persekitaran yang unik pada Malaysia bagi digunakan bagi menetapkan standard untuk kenderaan-kenderaan yang memohon penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) berdasarkan Undang-undang UN 101.

Bukan sahaja kaedah MDC ini dibangunkan, malah Malaysia kini telah pun mempunyai Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang dioperasikan oleh MAI, terletak di Rawang. Fasiliti berkenaan lengkap dengan Dynamometer Casis Emisi bersama bilik kawalan suhu, soak room, bilik emisi dan kelengkapan serta bilik kawalan. Ini membolehkan pusat berkenaan boleh menjalankan ujian pencemaran gas ekzos masa-sebenar untuk kereta penumpang yang menepati piawaian Undang-undang UN 83 dan 101.

Selain itu, MAI turut berkerjasama dengan agensi-agensi global lain dalam usaha pengurangan karbon dan tenaga yang digunakan dalam sektor pengangkutan darat di Malaysia. Baru-baru ini, MAI telah menjalankan kerjasama dengan organisasi yang tidak berdasarkan keuntungan, Clean Air Asia, yang mengimplemantasikan program “Menyokong Polisi Kenderaan Bersih dan Efisien di negara-negara Asia”, di taja oleh UN Environment.

Kadar perlepasan karbon lebih rendah dari gas ekzos enjin – apa usaha Malaysia kearah langkah berkenaan?

MAI telah pun mengadakan kerjasama dengan Japan Automobile Standards Internalization Center (Jasic) bagi memperbaiki dan membangunkan tenaga pakar tempatan menggunakan kepakaran dari Jasic. Kerjasama ini juga menghasilkan garis panduan untuk Perjanjian Pengiktirafan Bersama ASEAN (MRA), menerusi Bengkel Kumpulan Produk Automotif (APWG) dalam mengurangkan halangan teknikal.

Manakala di Malaysia sendiri, MAI telah menjalankan kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). Antara perkara yang dilakukan dalam usaha sama ini adalah termasuk, membuat formulasi polisi dan halatuju teknologi, memberikan input spesifik kepada EEV kearah pembangunan Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon, dan juga membuat analisa trend penggunaan tenaga dalam pengangkutan moden menerusi kajian DSM.

Jelas bahawa Malaysia menerusi MAI sangat serius untuk menjadikan Malaysia sebagai sebahagian masyarakat dunia yang semakin prihatin dalam masalah pemanasan global dan pencemaran udara, terutamanya dalam sektor automotif. Kita pula sebagai rakyat Malaysia, adakah turut sama bersedia untuk perubahan teknologi pada masa akan datang?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required