Dengan undang-undang penggunaan bahan api dan pencemaran bahan api Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) yang lebih ketat bakal menggantikan New European Driving Cycle (NEDC), BMW M3 F80 nampaknya bakal disingkirkan dari barisan model. Menurut laporan Autocar, produksi sedan berprestasi tinggi berkenaan bakal berakhir Ogos ini kerana dengan spesifikasi terkini, M3 tidak boleh lagi lulus ujian tersebut.

Jurucakap BMW memberitahu Autocar bahawa M3 perlu dipadankan dengan particulate filter khas bagi membolehkan ia lulus ujian had emisi nitrogen oksida WLTP. Proses homologasi semula berikutnya telah membolehkan model 3 Series generasi G20 yang akan diperkenalkan Oktober tahun ini masuk dalam pasaran, tetapi tidak untuk M3 yang masih kekal diasaskan dari model 3 Series F30.

Manakala untuk model dua pintu M4 F82 (coupe) dan F83 (convertible) pula masih lagi boleh dijual dalam pasaran, bersama produksi 4 Series lain yang akan diteruskan untuk tahun berikutnya. Namun kedua-dua model berkenaan masih perlu “diberhentikan buat berberapa bulan”, bagi membolehkan ia dipasang dengan penapis khas tersebut sebelum kembali semula ke bilik pameran.

Prestasi M4 berkenaan dikatakan tidak akan terjejas menerusi pengubahsuaian tersebut di mana enjin 3.0 liter enam-silinder turbo berkembar yang dibekalkan masih mampu mengekstrak 431 hp dan tork maksima 550 Nm, membolehkan model sport itu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

Ogos tahun lalu, aci pacu (driveshaft/propeller shaft) M3 yang asalnya diperbuat dari material gentian karbon (CFRP) telah digantikan dengan aci pacu khas M berprestasi tinggi yang diperbuat dari logam kerana alasan yang sama iaitu tidak mematuhi peraturan emisi semasa; petrol particulate filter (PPF) pada sistem ekzos perlu dipadankan secara tidak langsung memakan ruang pada rekaan aci pacu gentian karbon berkenaan.

M3 generasi baharu dari siri G80 pula disasarkan akan diperkenalkan pada tahun 2020, bakal dijana enjin yang sama pada generasi sedia ada tetapi diberikan pelbagai kemaskini. Kuasa dari enjin tersebut dijangka bakal meningkat 10% kepada 465 hp, dan disalurkan ke gandar belakang menerusi pilihan kotak gear sama ada automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan.