Selari dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EEV serantau seperti yang terkandung di dalam Dasar Automotif Nasional 2014, Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) yang pertama seumpanya di negara ini dilancarkan secara rasmi hari ini.

Bertempat di Serendah, Rawang, pembinaan pusat berkenaan menelan kos RM50 juta dan ia ditanggung sepenuhnya oleh Perodua. Sementara itu, Institut Automotif Malaysia (MAI) akan bertindak sebagai pengendali operasi untuk kemudahan ini dan ia terbuka untuk digunakan oleh mana-mana pengeluar sekali pun, baik yang berada di Malaysia mahupun rantau ASEAN.

“Di Malaysia ketika ini terdapat 28 OEM yang boleh memanfaatkan NETC. Jika sebelum ini pengeluar kenderaan terpaksa melakukan ujian yang sama di luar negara, dengan kos sekitar RM30k-RM40k bagi satu unit kenderaan (belum mengambil kira kos logistik), dengan pengenalan NETC kos berkenaan juga boleh dijimatkan sebanyak 40%,” jelas CEO MAI, Datuk Madani Sahari.

Bagi fasa pertama operasinya, NETC boleh menampung ujian pelepasan karbon bagi kenderaan penumpang sahaja, dengan piawaian enjin sehingga Euro 6 (tahap B dan C; bersamaan Euro 7 di sesetengah negara). Namun, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan mempunyai kelengkapan untuk menjalankan ujian yang sama terhadap motosikal dan juga kenderaan perdagangan.

Dari segi kepasiti NETC, ia mampu untuk menjalankan ujian dalam tempoh tiga hari bagi sebuah kenderaan penumpang. Makmal di pusat ini dilengkapi antara lain dengan soak room, Emission Chassis Dynometer dengan bilik kawalan suhu serta bilik kawalan bagi menjalankan ujian untuk menepati Peraturan UN 83 dan 101.

Bagi Perodua, ini merupakan komitmen syarikat itu untuk menyumbang dalam membantu Malaysia ke arah mengurangkan jejak karbon yang terhasil dari kenderaan; disasarkan menjelang tahun 2030 kadarnya dapat dikurangkan sehingga 45%. Sejak 2014, sejumlah kira-kira 405,000 unit kenderaan EEV telah terjual dalam pasaran tempatan, dengan 40% daripadanya merupakan model-model keluaran Perodua, bermula dengan pengenalan Axia.

Bersekali dengan perasmian NETC yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri MITI, Datuk Seri Ahmad Maslan, MAI turut memperkenalkan Skim Pelabelan EEV; label khas dilekatkan pada kenderaan EEV yang diiktiraf untuk memudahkan pengguna mendapatkan perincian lanjut tentang data-data berkaitan kecekapan bahan apu dan pelepasan karbon melalui QR Code.

Turut diadakan ialah sesi menandatangani MoU antara MAI dengan Jabatan Alam Sekitar untuk menjalinkan kerjasama bagi penambahbaikan amalan indsutri automotif berkaitan hal-hal dan dasar yang melibatkan alam sekitar.

Sebuah lagi MoU pula dimetarai antara MAI dan UKM yang dilantik sebagai rakan usahasama dalam menjalankan kajian dalam bidang ekonomi, perakaunan, perniagaan serta perdagangan.