BMW telah pun mendedahkan model 8 Series pada Jun lalu, dan sekarang tentunya peminat sedang menunggu model paling berkuasa dalam barisannya iaitu M8 Competition. BMW sememangnya sedang bersedia untuk melancarkan versi tersebut, tapi sebelum ia didedahkan secara rasmi, nampaknya gambar penuh model berkenaan telah bocor terlebih dahulu di internet.

Imej-imej ini disiarkan pada laman GermanCarForum. Dapat dilihat bahawa M8 Competition menampilkan ciri-ciri seperti yang diberikan pada M5 Competition dan M2 Competition – rupa lebih garang dengan pelbagai kemasan gentian karbon, dan juga peningkatan pada prestasi.

Model ini dijangka bakal dijana oleh enjin S63B44T4 4.4 liter V8 dengan dua pengecas turbo dari M5 baharu, dan akan ditala bagi mengekstrak lebih kuasa. Khabar angin yang bertiup mengatakan model Competition ini akan menghasilkan 650 PS, manakala M8 ‘asas’ menjana ‘hanya’ 630 PS. Ini membolehkan M8 Competition memecut dua saat lebih pantas dari M8 versi standard dalam pecutan 0-100 km/j.

Pada bahagian luaran, M8 Competition diberikan empat tip ekzos seperti model-model M sebenar yang lain. Bahagian seperti penutup cermin sisi, bampar dan spoiler belakang diperbuat daripada gentian karbon. Bumbung karbon akan ditawarkan sebagai opsyen untuk M8 biasa, tetapi diberikan standard untuk model Competition ini, bersama serlahan-serlahan dan rim unik berwarna hitam.

Bahagian dalam pula, ia hadir dengan panel gentian karbon pada konsol tengah, tempat duduk sport dengan lencana M8, lencana-lencana Competition, tombol gear M serta roda stereng balutan kulit (opsyen Alcantara mungkin akan ditawarkan)

Selain dari M8 dan M8 Competition ini, Coupe 8 Series buat masa ini telah ditawarkan dalam versi M850i xDrive dan 840d xDrive. Versi Gran Coupe juga sedang dalam pembangunan, tetapi versi M sebenar ini mungkin hanya untuk badan Coupe biasa.