BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

Model baru BMW 8 Series sudah mula dibangunkan agak lama, dan berita berkenaannya mula diketahui pada tahun 2016. Setahun lepas itu, BMW mengesahkan kewujudannya dengan menunjukkan model 8 Series Concept. Ia kemudiannya diikuti kereta lumba M8 GTE dan M8 Gran Coupe Concept yang lebih agresif.

Kini model produksi sebenar sudah pun siap, dan ia akan menggantikan barisan 6 Series Coupe, seterusnya melengkapi model 7 Series. Sudah tentu, rekaan agresifnya dikurangkan sedikit untuk model produksi, tetapi masih ada ciri menarik daripada model konsep yang diguna seperti lampu utamanya – lampu paling nipis pernah diguna untuk kenderaan BMW, dan boleh didapati dalam jenis LED biasa atau Laserlight adaptif dengan Selective Beam (pilihan tambahan).

Bonet yang panjang dan bumbung gelembung yang rendah memberikan penampilan seperti kereta sports klasik, dan di tepi pintu terdapat lengkungan yang masuk ke dalam. Di belakang, anda boleh melihat lampu LED penuh, spoiler serta muncung ekzos bentuk trapezoid. Pemilik juga boleh memilih pakej M Sport yang menambah spoiler hadapan dengan bukaan udara lebih besar, side skirt serta diffuser yang lebih agresif.

Buat pertama kali juga, anda boleh memilih pakej M Technic yang kemasan Shadow Line dan tambahan spoiler atas but. Pakej Carbon pula menyediakan bumbung gentian karbon (pertama kali bagi model bukan M), dan beberapa bahagian lain yang juga dibuat daripada gentian karbon seperti diffuser dan spoiler.

BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

Bahagian dalam pula melihatkan rekaan yang berbeza berbanding model terkini BMW yang lain. Konsol tengahnya direka memanjang ke bawah dan lebih condong ke arah pemandu. Corong pendingin hawa pula mempunyai kemasan krom yang mana garisannya bersambung dengan pembesar suara serta pemegang di tepi pintu. Ia datang dalam keadaan standard dengan balutan kulit serta Vernasca untuk tempat duduk.

Tempat duduk sports juga datang secara standard dan ia menampilkan penyandar kepala yang dibina sekali dengan penyandar badan, pelaras kuasa elektronik serta fungsi memori untuk pemandu dan juga penumpang hadapan. Jika itu tidak mencukupi, pelanggan boleh menambah tempat duduk pelbagai fungsi, bersama balutan kulit Merino atau BMW Individual.

Di antara tempat duduk tersebut terdapat sekumpulan butang pengawal yang termasuk butang pemula enjin, iDrive, suis Driving Experience Control dan tombol gear. Butang pengawal ini boleh didapati dengan jenis yang dibuat daripada kaca, dengan tombol gear yang mempunyai simbol ‘8’ bercahaya.

Pilihan lain termasuk liang udara pada tempat duduk yang direka semula, BMW Display Key dengan skrin sesentuh, pengecas telefon Qi tanpa wayar dan lampu dalam kenderaan dinamik yang melengkapi lampu biasa. Terdapat juga pilihan sama ada sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara atau Bowers & Wilkins Diamond Surround 1,375-watt untuk menggantikan sistem 11 pembesar suara asal.

BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

Untuk sistem infotainmen, 8 Series datang secara terus dengan sistem navigasi Professional, menampilkan skrin sesentuh 10.25 inci di tengah, pengawal sesentuh dan BMW Operating System 7.0. Paparan instrumen BMW Live Cockpit Professional 12.3 inci juga datang secara standard bersama paparan baru yang termasuk peta navigasi.

Di sebalik badannya, terdapat kerangka modular Cluster Architecture (CLAR) BMW yang dibina daripada gabungan besi, aluminium, magnesium dan gentian karbon, seperti 7 Series. Untuk suspensi, terdapat double wishbone di hadapan dan five-link di belakang, dengan kinematik dan elastokinematik unik yang memberikan tambahan ketangkasan, ketepatan dan prestasi. Suspensi Adaptive M serta Integral Active Steering dipasang secara standard.

Semasa pelancaran, terdapat dua varian yang ditawarkan, bermula dengan 840d xDrive diesel pacuan semua roda yang dikuasakan oleh enjin enam silinder twin-turbo 3.0 liter berkemampuan 320 hp pada 4,400 rpm dan 680 Nm pada antara 1,780 hingga 2,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan mampu memberikan catatan prestasi seperti 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan penggunaan bahan api antara 5.9 hingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

Satu lagi pilihan adalah M850i xDrive. Varian ini dikuasakan oleh enjin M550i 4.4 liter V8 petrol biturbo yang dinaik taraf untuk memberi kuasa 530 hp antara 5,500 hingga 6,00 rpm dan 750 Nm tork pada antara 1,800 hingga 4,600 rpm. Enjin ini mampu menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan menggunakan bahan api antara 10.0 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km.

BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

Perbezaan lain antara dua varian ini adalah M850i xDrive turut dilengkapi pakej M Sport, bersama tambahan splitter hadapan, spoiler atas but serta kemasan Cerium Grey. Varian atas ini juga mendapat tempat duduk pelbagai fungsi, stereng M Sports, sistem pacuan semua roda yang lebih kepada roda belakang, differential belakang kawalan elektronik, brek M Sport lebih besar serta anti-roll bar sebagai pilihan tambahan.

Model 8 Series ini juga ditawarkan dengan kelengkapan bantuan pemandu penuh, di mana dengan pakej tambahan Driving Assistant Professional, ia akan mendapat Adaptive Cruise Control dengan sistem Stop and Go, sistem pemanduan semi-autonomous dengan adanya steering and lane control assist dan Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi.

Ciri lain yang terdapat dalam pakej Driving Assistant Professional ini adalah termasuk pengesan termasuk untuk pejalan kaki, amaran perlanggaran belakang, amaran laluan bertentangan dan amaran trafik melintas yang termasuk pengaktifan brek.

Ciri biasa BMW Connected ditawarkan bersama Open Mobility Cloud, yang membolehkan pengguna mengakses ciri daripada peranti elektronik seperti iPhone dan Apple Watch, telefon pintar serta jam Android, Amazon Alexa serta Google Home.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required