BMW 7 Series serba baharu dilancarkan – 2.0 turbo 4-silinder 730Li dan 740Li, dari RM599k

BMW-740Li-Main_BM

BMW Group Malaysia hari ini telah melancarkan BMW 7 Series serba baharu yang sudah memasuki generasi keenam, yang menawarkankan pengalaman pemanduan yang mewah dan eksklusif dalam bentuk sebuah sedan kontemporari.

Didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li serba baharu, ia menawarkan kemewahan dan keselesaan yang digabungkan bersama karekteristik pemanduan paling dinamik, ciri-ciri sofistikated, ambien paling menyenangkan, di samping manfaat daripada sistem pemanduan unik dan termaju yang membuatkan memandu bukan sahaja selamat, malah lebih menyeronokkan.

BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238 mm berbanding generasi sebelum ini 5,219 mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah. Ini menjadikan BMW 7 Series serba baharu sebagai model paling besar yang pernah dihasilkan oleh BMW.

Penampilan dinamik dan berprestijnya turut diserlahkan menerusi perkadaran yang menjadi tanda dagang buat BMW. Misalnya bonet yang panjang, unjuran hadapan pendek, tapak roda panjang, kompartmen penumpang luas dan garis bumbung yang elegan.

2016-bmw-7-series-official-pictures- 001

Bahagian hadapan BMW 7 Series serba baharu yang mantap menyerlahkan lagi penampilannya. Ia juga menjadi kereta pertama BMW yang jelas menggunakan teknologi BMW EfficientDynamics. Gril hadapan pada sedan mewah ini dilengkapi sistem Active Air Stream yang hanya dibuka sekiranya penyejukan udara diperlukan.

Bahagian atas lampu utama baharunya lebih nipis dan bahagian bawahnya diratakan. Lampu tersebut diunjurkan sehingga ke gril. Sementara lampu bulat berkembar LED penuh pada BMW 730Li serba baharu diselarikan dengan bahagian atas dan bawahnya, sekali gus memberikan jentera ini penampilan yang fokus serta lebih garang. Menambah aspek yang pertama dalam segmen mewah ialah lampu utama lazer BMW yang dipasang pada varian BMW 740Li. ia mempunyai mod lampu tinggi sejauh 600 meter iaitu dua kali lebih jauh berbanding lampu LED.

Penampilan menarik dan eksklusif BMW 740Li ditingkatkan lagi dengan rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci dan rekaan jejari V untuk BMW 730Li serba baharu.

BMW 740Li menawarkan kuasa mengujakan, lancar serta bunyi yang menggetarkan melalui enjin petrol enam-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 3.0 liter generasi terkini yang diambil daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics. Dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Setptronic yang telah dioptimumkan, ia mampu menjana kuasa maksimum 326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.5 saat. Purata penggunaan bahan api BMW 740Li serba baharu adalah sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km dengan emisi C02 154 gram bagi setiap kilometer.

BMW 730Li serba baharu juga menawarkan kuasa dinamik dan penggunaan bahan api yang rendah. Dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter, enjin pada BMW 730Li serba baharu ini berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.3 saat sahaja. Bacaan penggunaan bahan api BMW 730Li serba baharu adalah 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tahap emisi C02 pula ialah 134 gram untuk setiap kilometer.

Ia juga dibina dengan struktur badannya yang menggunakan Carbon Core, satu produk hasil peralihan teknologi daripada pembangunan kereta-kereta BMW i. Sebagai sebahagian daripada konsep BMW EfficientLightweight, BMW 7 Series serba baharu merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menggunakan Carbon-Fibre-Reinforced Plastic (CFRP). Di samping gabungan pintar komponen-komponen aluminium, magnesium dan besi regangan tinggi.

Komponen-komponen berteknologi tinggi ini disempurnakan lagi dengan dua gandar suspensi udara yang boleh dilaras sendiri. Ia dipasang bersama Dynamic Damper Control yang didatangkan sebagai satu ciri standard untuk BMW 7 Series serba baharu buat pertama kalinya.

Suis Driving Experience Control dengan rekaan baharu diletakkan pada konsol tengah. Mod-mod pemanduan seperti COMFORT, SPORT, ECO PRO dan ADAPTIVE (pertama kali) boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Apabila mode ADAPTIVE diaktifkan, talaan kenderaan akan dipadankan dengan gaya pemanduan semasa.

2016-bmw-7-series-official-pictures- 004

Tahap keselesaan, dinamik dan prestasi boleh ditingkatkan menerusi satu lagi ciri yang pertama di dunia pada BMW 7 Series serba baharu iaitu Executive Drive Pro. Sistem kawalan casis aktif yang dipasang pada BMW 740Li serba baharu melibatkan gabungan fungsi dua gandar suspensi udara dan Dynamic Damper Control untuk mencapai standard keselesaan suspensi, redaman dan getaran yang terbaik. Buat pertama kali juga, penstabil olengan aktif ditawarkan secara elektromekanikal. Ia membolehkan olengan tubuh kenderaan dikurangkan dengan tepat ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Banyak elemen menarik turut ditampilkan menerusi ruang kabin BMW 7 Series ini termasuklah konsep operasi lanjutan iDrive yang baharu. Sebagai tambahan kepada operasi biasa menggunakan iDrive Controller dan sistem kawalan suara yang telah diubah suai, ia turut menawarkan dua pilihan untuk membuatkan operasi kenderaan lebih intuitif, mudah dan selamat.

Selain itu, paparan sentuh pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau turut ditampilkan. Begitu juga dengan kawalan gestur BMW yang membolehkan pemandu mengakses fungsi-fungsi tertentu kenderaan seperti mengawal suara muzik, menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan. Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera infra merah 3D yang dipasang pada bahagian lampu kabin hadapan serta berperanan mengimbas tangan dan mengenal pasti pergerakannya.

Di dalam kabin BMW 7 Series serba baharu turut diserlahkan lagi dengan pilihan Lampu Ambien. Ia mempunyai ciri Welcome Light Carpet pada bahagian pintu kereta. Terdapat enam pilihan warna lampu yang boleh dimalapkan. Lampu ini boleh dioperasi dan dipilih melalui menu iDrive.

Bukan itu saja, ia juga menampilkan pendingin hawa automatik dengan kawalan empat zon dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi urutan dan Vitality Programme yang membolehkan penumpang menikmati lapan talaan senaman fizikal untuk menyegarkan tubuh badan.

Satu lagi inovasi kemewahan ialah unit kawalan BMW Touch Command pada konsol tengah bahagian belakang kabin. Sebagai sebuah tablet bersaiz tujuh inci yang boleh dialih dan disambungkan dengan sistem-sistem kenderaan, para penumpang berpeluang mengakses semua fungsi hiburan dan keselesaan.

Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan bumbung kaca panorama, namun hanya 740i yang bumbung kaca panoramik Sky Lounge dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya di dalam kaca bumbung panoramik tersebut.

Juga eksklusif untuk 740LI, ia turut didatangkan dengan sistem bunyi Harman Kardon 600w bersama sembilan saluran dan 16 speaker. Manakala 730i pula ditampilkan dengan sistem “HiFi” 205w bersama 12 speaker.

Varian 730Li menerima BMW Driving Assistant, pek keselamatan yang mengandungi Approach Control dan Person Warning dengan light city braking, rear collision prevention, lane change, lane departure warning dan rear cross traffic warning. BMW Driving Assistant Plus pula ditampilkan pada 740LI dengan kamera stereo dan radar untuk stereng dan lane control assist, lane keeping assistant dengan active side collision protection, traffic jam assistant, rear cross traffic assist, dan Active Cruise Control dengan Stop & Go. Lapan beg udara turut ditampilkan sebagai standard.

BMW 7 Series serba baharu juga ditampilkan dengan BMW Display Key yang memaparkan pelbagai status data kenderaan dan membolehkan beberapa operasi dipilih menerusi ciri Touch Display yang bersepadu. Begitu juga dengan Driving Assistant Plus, dan Lane Departure Warning Assistant. BMW Head-Up Display kini tampil dengan ruang paparan 70 peratus lebih besar dan mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti pandangan 3D di persimpangan jalan.

Kedua-dua varian ditawarkan dengan pilihan warna seperti Black Sapphire, Cashmere Silver, Mineral White dan Sophisto Grey. Varian 740Li juga didatangkan dengan warna eksklusif Imperial Blue, manakala 730Li pula warna Jatoba. 740Li turut menampilkan pilihan rangkaian warna upholsteri kulit Nappa seperti hitam, Canberra Beige dan Cognac. Bagi 730Li pula dengan pilihan upholsteri kulit Dakota ialah hitam, Canberra Beige dan Cognac.

Bagi 730i, harganya bermula RM598,800 OTR tanpa insurans dan RM788,800 bagi 740Li. BMW Group Malaysia menyatakan ia adalah “harga eksklusif” sempena dengan ulang tahun ke-100 BMW, selagi stok masih ada atau sampai notis pemberitahuan. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required