BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

Walaupun BMW M2 sudah boleh dikatakan agak bagus, masih ada peminat tegar jenama prestasi M ini yang tidak mahu menganggapnya sebagai sebuah model M sebenar. Ia dikatakan tidak mempunyai enjin unik M serta barangan khas M seperti cermin sisi serta tempat duduknya. Sekarang, BMW telah menjawab rungutan tersebut, dengan penghasilan BMW M2 Competition, yang lebih berprestasi lagi berbanding M2 dengan Competition Package.

Sebagai permulaan, enjin N55 pada M2 telah diganti dengan enjin S55 daripada M3 dan M4, tetapi talaannya dikurangkan sedikit. Kapasiti enjin masih lagi sama iaitu 3.0 liter dan berkonfigurasi enam silinder, tetapi ia menggunakan dua pengecas turbo, dan bukannya satu unit twin-scroll. Enjin pada M2 Competition ini juga menerima teknologi High Precision Injection, angkatan injap boleh ubah Valvetronic serta pemasaan injap boleh ubah Double Vanos.

Ciri baru lain adalah termasuk sistem minyak yang diambil daripada sukan permotoran, sistem penyejukan yang dinaik taraf daripada unit dalam pakej M4 Competition, sistem ekzos dua cabang dengan injap aktif yang boleh memberikan bunyi unik serta penapis habuk untuk menghasilkan emisi lebih baik.

BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

Dengan semua barangan ini, M2 Competition dapat menghasilkan 410 hp antara 5,250 hingga 7,000 rpm dan 550 Nm tork antara 2,350 hingga 5,200 rpm. Ini adalah 40 hp dan 85 Nm tork lebih berkuasa berbanding M2 biasa, dan kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi manual enam kelajuan dengan lapik geseran gentian karbon serta fungsi rev-matching yang boleh diaktifkan dengan menutup sistem kawalan kestabilan.

Bagi yang mahukan lebih prestasi daripada pakej ini, mereka boleh mendapatkan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan M dengan Drivelogic, yang dapat menghasilkan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding M2 biasa. Pakej M Driver pula dapat meningkatkan pengehad kelajuan daripada 250 km/j kepada 280 km/j.

Bagi memastikan kereta ini lebih tegap, ia dipasang dengan pendakap gentian karbon daripada M3 dan M4 di bawah bonetnya, seterusnya juga dapat meningkatkan pengendalian. Sistem Dynamic Stability Control turut ditala semula supaya dapat memberikan cengkaman lebih baik atas jalan basah, kawalan lebih memuaskan dan mengurangkan gangguan sewaktu melakukan drift.

Penampilan yang sudah cukup garang pada M2 ditambah lagi bagi model ini, menggunakan gril kidney serta bukaan udara lebih besar di bahagian bawah bampar. Cat warna hitam berkilat digunakan pada gril, sirip tepi serta empat muncung ekzos, dan paling membahagiakan penggemarnya, cermin sisi khas seperti M3 dan M4. M2 Competition boleh didapati dalam warna Sunset Orange dan Hockenheim Silver, dan disertakan rim 19 inci.

Di dalam pula terdapat plet hiasan bertulis M2 Competition di tepi pintu, bersama tempat duduk bucket M Sport yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Roda stereng juga mendapat butang seperti M1 dan M2 yang boleh digunakan untuk menyimpan tetapan pelarasan enjin, stereng serta kawalan stabiliti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required