BMW M5 F90 pertama kali diperkenalkan kepada dunia Ogos tahun lalu, dan pada bulan Mei, ia memasuki pasaran Malaysia. Selain daripada versi biasa, pengeluar dari Jerman itu juga ada memperkenalkan versi yang lebih ganas iaitu M5 Competition, tetapi ia masih belum tiba di Malaysia.

M5 Competition adalah model M5 F90 paling berkuasa yang boleh dibeli sekarang, dan ia dipacu oleh enjin V8 4.4 liter twin-turbo yang ditala untuk menghasilkan sebanyak 625 hp dan 750 Nm tork, iaitu 25 hp lebih berkuasa, dengan lingkungan tork yang lebih luas (1,800 hingga 5,800 rpm) berbanding model M5 biasa.

Dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dan sistem pacuan semua roda M xDrive yang lebih kepada tayar belakang, M5 Competition ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, dan ini adalah 1/10 lebih pantas berbanding M5 biasa. Untuk mencapai kelajuan 200 km/j dari kedudukan pegun pula ia cuma memerlukan masa 10.8 saat (0.3 saat lebih pantas).

Model ini juga mendapat sistem ekzos M Sport yang khas untuknya secara standard, serta tapak enjin unik dengan karekter yang diubah serta kadar spring yang ditingkatkan. Ini sekaligus memberikan tindak balas enjin yang lebih terus, kemampuan mengambil selekoh lebih tepat dan lebih bunyi enjin di dalam kabin. Ia juga lebih rendah tujuh milimeter – geometri suspensi telah ditala dengan spring lebih keras, dan toe link disambung terus kepada ball joint untuk gandar belakang.

Untuk bahagian kabin, model ini mendapat tali pinggang keledar warna hitam dengan corak berjalur warna khas M, alas kaki khas bersama logo M5 serta grafik “M5 Competition” pada panel instrumen. Kebanyakan bahagian lain masih lagi sama seperti M5 standard, tetapi pemilik masih mempunyai pelbagai pilihan ubah suai melalui katalog BMW Individual.

Bermula dengan M5 Competition, BMW M sekarang akan menawarkan varian paling berkuasa bagi kenderaan mereka secara terus sebagai sebuah model lengkap, seperti M2 Competition dan ini adalah hasil daripada permintaan tinggi terhadap pakej M Competition bersama pelbagai naik taraf. Pakej M Competition pertama kali ditawarkan kepada pengguna untuk M5 generasi sebelum ini dan sekarang boleh didapati untuk M4 Coupe/Convertible dan juga M3.