Kementerian Pengangkutan India baru sahaja mengeluarkan pengumuman bahawa bermula Julai 2019, semua kenderaan pengangkutan awam atau lebih spesifiknya teksi serta kereta yang digunakan untuk servis perkongsian kenderaan seperti Uber diharamkan untuk mempunyai sistem ‘Child Lock‘ pada pintu belakang.

Boleh dikatakan semua kenderaan moden sekarang mempunyai ciri ini kerana ia asalnya dibuat untuk keselamatan kanak-kanak, supaya mereka tidak boleh membuka pintu dari dalam dan perlu menunggu orang lain untuk membuka pintu dari luar.

Walaubagaimanapun, ia telah disalah gunakan oleh penjenayah, dan beberapa kes sudah pun terjadi di sana dengan dilaporkan mangsa terperangkap, tidak dapat keluar daripada kenderaan untuk melarikan diri.

Walaupun ini adalah berita daripada negara luar, kita mungkin boleh mengambil iktibar darinya. Apabila mahu menaiki teksi atau kenderaan lain seperti Grab, pastikan pintu belakangnya boleh dibuka dari dalam. Untuk memeriksa Child Lock ini, anda boleh melihat satu tuil di tepi pintu dan pastikan ia berada di arah yang betul supaya anda boleh buka pintu dari dalam.